FTKKP UMPSA perkasa kelestarian alam sekitar bersama BASF PETRONAS Chemicals
KUANTAN, 12 Julai 2026 – Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar apabila menghantar kira-kira 30 orang pelajar dan pensyarah menyertai Program Penanaman Pokok Bakau, Gotong-Royong Pembersihan Pantai dan Pelepasan Anak Penyu yang dianjurkan oleh BASF PETRONAS Chemicals Sdn. Bhd. di Pantai Chendor, Pahang.
Program yang menghimpunkan kira-kira 500 peserta itu melibatkan kakitangan dan keluarga BASF PETRONAS Chemicals, rakan strategik industri PC MTBE, Malaysian Nature Society (MNS) Cawangan Pahang, warga UMPSA serta komuniti setempat dalam usaha memulihara ekosistem pesisir pantai dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.
Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pengarah Operasi dan Perkhidmatan Tapak BASF PETRONAS Chemicals, Ir. Shahruny Mohd. Akil sebelum para peserta menjalankan aktiviti penanaman kira-kira 2,000 anak pokok bakau daripada spesies Rhizophora apiculata (bakau minyak) dan Rhizophora mucronata (bakau kurap) di bawah bimbingan Malaysian Nature Society (MNS) Cawangan Pahang.
Selain aktiviti penanaman bakau, para peserta turut berganding bahu membersihkan kawasan pantai serta melepaskan kira-kira 150 ekor anak penyu ke laut sebagai simbol komitmen bersama dalam memelihara biodiversiti marin dan memastikan kelangsungan ekosistem pesisir untuk generasi akan datang.

Penyertaan FTKKP UMPSA membuktikan komitmen universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik dan teknikal, malah mempunyai semangat kesukarelawanan, tanggungjawab sosial serta keprihatinan terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Menurut Pengurus Kanan, Hal Ehwal Korporat BASF PETRONAS Chemicals, Lee Sow Kheng, kerjasama erat di antara UMPSA dengan BASF PETRONAS Chemicals melalui Memorandum Persefahaman (MoU) telah berjaya memperkukuh pelaksanaan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya program pemuliharaan alam sekitar.
"UMPSA merupakan rakan kerjasama yang sentiasa memberikan sokongan padu dengan menghantar pensyarah dan pelajar setiap tahun sebagai sukarelawan.
“Komitmen ini jelas dapat dilihat melalui penglibatan aktif Chemical Engineering Student Society (CHEST) yang sentiasa menyokong program penanaman pokok bakau dan memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar," katanya.

Program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs), khususnya SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim), SDG 14 (Hidupan di Bawah Air) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat), sekali gus memperlihatkan kepentingan kerjasama erat antara institusi pendidikan tinggi, industri, badan bukan kerajaan dan komuniti dalam memacu agenda kelestarian negara.
Ia bukan sahaja mengukuhkan hubungan strategik di antara FTKKP UMPSA dengan BASF PETRONAS Chemicals, malah mencerminkan komitmen bersama dalam membudayakan kelestarian alam sekitar melalui penglibatan aktif pensyarah dan pelajar dalam aktiviti kesukarelawanan.
Inisiatif seumpama ini selaras dengan aspirasi UMPSA untuk melahirkan graduan holistik yang berpengetahuan, berkemahiran serta mempunyai kesedaran tinggi terhadap pembangunan mampan dan kesejahteraan masyarakat.
Disediakan Oleh: Ts. Junaidi Zakaria, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP)
- 71 views
Reports by: