Kolaborasi UMP Holdings dan Yayasan UMP bantu komuniti terkesan
KUANTAN, 19 Januari 2021 - Bersimpati dengan nasib mereka yang terkesan akibat banjir, banyak pihak menghulurkan bantuan dengan memberi sumbangan pelbagai barangan keperluan untuk dimanfaatkan mangsa banjir di negeri Pahang.
Baru-baru ini, Skuad UMP Prihatin dari Yayasan UMP dan UMP Holdings telah menyampaikan sumbangan bantuan untuk lebih 300 komuniti yang terjejas banjir di sekitar Sungai Lembing, Panching dan Paya Besar.
Hadir sama Ahli Parlimen Paya Besar, Yang Berhormat Mohd Shahar Abdullah yang juga merupakan Timbalan Menteri Kewangan II, Ketua Pegawai Eksekutif UMP Holdings dan Kumpulan, Ir. Dr. Syed Mohamad Hamzah Al-Junid Syed Abdul Rahman dan Ketua Pejabat Naib Canselor, Zainuddin Mat Hussin.
Menurut Ir. Dr. Syed Mohamad Hamzah, kolaborasi strategik ini sebagai salah satu tangungjawab sosial UMP Holdings dalam membantu mangsa yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda kebanyakan daerah di negeri Pahang.
“Setelah berjaya dalam Projek Tabung triUMPH Frontliners 1 dan 2 hasil kerjasama Alumni UMP bagi membantu barisan hadapan, kini kami mengumpulkan sumbangan secara bersasar untuk Projek UMPH Flood Relief: Bersama Kita Cakna untuk membantu mangsa bajir,” katanya yang menyerahkan replika cek sumbangan bernilai RM35,000.00 bagi tujuan ini.
Pihaknya turut mengagihkan air minuman bersih dan cecair pensanitasi tangan kepada seramai 2,400 penerima di beberapa Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir.
Dalam pada itu, Yang Berhormat Mohd Shahar turut mengucapkan terima kasih atas sumbangan kedua-dua pihak.
Dalam masa yang sama, beliau sentiasa mengingatkan sukarelawan agar mengambil berat dengan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan amalan norma baharu agar keselamatan menjadi keutamaan buat sukarelawan.
Sehingga kini, pihak Yayasan UMP menerima lebih 20 tan barangan sumbangan seperti pakaian kanak-kanak, makanan, barangan pembersihan, selimut, bantal dan cadar bernilai lebih 100 ribu ringgit hasil sumbangan rakyat Malaysia.
Usaha murni ini juga memudahkan urusan pengumpulan dan agihan barang bantuan ini terutamanya tatkala berdepan dengan kesukaran pergerakan akibat penularan Covid-19 di negara ini.
Sumbangan orang ramai, industri, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan dermawan amat dialu-alukan untuk menyumbang ke Tabung Bencana UMP bagi penyediaan keperluan asas, barang dapur, kelengkapan selimut dan kit pembersihan akibat bencana agar lebih ramai menerima manfaat.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 83 views