NC UMPSA santuni petani Kampung Bentan Pekan
PEKAN, 4 September 2024 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin mengetuai Program Gotong-royong Projek Pertanian Bersama Petani Kampung Bentan, Pekan baru-baru ini.
Program itu bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara Naib Canselor dan golongan petani khususnya bagi menyelami masalah yang mereka hadapi serta jalan penyelesaian yang boleh diberikan bagi membantu mereka.
Kampung Bentan telah dipilih sebagai Kampung Angkat UMPSA melalui Program Satu Kampung Satu Pemimpin (Santuni Madani).
Menurut Profesor Ts. Dato’ Dr. Yuserrie, kampung yang berdekatan dengan kampus universiti ini memberi peluang buat beliau umtuk turun padang bagi memantau, membantu dan membimbing komuniti di sesebuah kampung dengan tujuan untuk memahami dan menyelesaikan masalah masyarakat setempat secara lebih dekat.
“Semoga program ini akan membantu membentuk hubungan yang lebih erat antara pemimpin dan masyarakat setempat.
“Malahan dalam jangka panjang, hubungan ini akan menghasilkan modal sosial yang lebih kuat, iaitu masyarakat mempunyai jaringan yang lebih luas untuk mendapatkan bantuan, nasihat, dan peluang yang bersesuaian untuk mereka berdaya saing,” ujarnya.
Program Santuni MADANI – Satu Pemimpin Satu Kampung ini merupakan satu program khas yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri sebagai usaha untuk meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat menerusi libat urus berterusan dan pemantauan berkala.
Menerusi program ini, keperluan dan isu sosioekonomi penduduk di kampung yang dipilih akan dikenal pasti dan mencadangkan kaedah penyelesaian di dalam aspek-aspek pendidikan, kemiskinan, kesihatan, infrastruktur dan sebagainya.
Dalam masa yang sama, UMPSA yang mempunyai penyelidik berkepakaran dalam pelbagai bidang turut menyumbang dalam merealisasikan agenda Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 bertemakan ‘Teknologi untuk Masyarakat’.
Seramai 40 orang sukarelawan terlibat dalam program gotong-royong pada kali ini hasil kerjasama Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM)dan Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH).
Turut sama hadir Penolong Naib Canselor (Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim dan Pengarah PPPH, Ts. Izwan Ismail.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 52 views