Skip to main content

Program MyCafé -Komuniti UMP bantu beri makanan percuma buat mahasiswa 

Pekan, 11 April – Sembilan pengusaha makanan sekitar kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP)  menyertai Inisiatif MyGift  menerusi Program MyCafé - Komuniti UMP bagi menaja makanan secara percuma kepada 62 mahasiswa UMP dalam usaha membantu mahasiswa yang kesempitan wang dan yang memerlukan bantuan. 

Rakan Komuniti ini terdiri daripada Restoran Tunas Budi Sdn. Bhd, Restoran Mak Andak, Warung Cili Padi Serandu, Restoran Mak Ct, Warung Mazarah  Abdul Manaf , Madi Uya Enterprise, Kedai Mokna dan Warung Rahmat DK.

Majlis penyerahan sijil penghargaan dan kupon makan disampaikan  Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Sri Daing Nasir Ibrahim bertempat di Dewan Bankuet UMP Pekan. Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof’ Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin , Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Pro Pendaftar,  Abd Rahman Hj Safie.

Dalam ucapannya, Prof. Dato’ Sri Daing Nasir merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pengusaha makanan yang menyokong usaha ini. 

“Program ini merupakan satu inisiatif MyGift universiti dalam menyemarakkan budaya menyumbang dalam kalangan masyarakat. MyCafe merupakan program yang mana pengusaha makanan yang berhampiran UMP  bersetuju membantu mahasiswa UMP terutama mereka yang tinggal di luar kampus dan terbeban dengan masalah kewangan sepanjang mengikuti pengajian di universiti,” katanya. 

Universiti tidak menghadkan jumlah sumbangan, malah memberi pihak pengusaha yang memutuskan jumlah sumbangan yang diberikan.  Dalam konsep ini mahasiswa terpilih akan diberi makan percuma di kedai makan  yang telah ditetapkan. 

Beliau berharap  program ini dapat memberi manfaat kepada mahasiswa dan pihak pengusaha makanan. Malahan percaya ianya akan memberikan pengalaman berharga kepada mahasiswa apabila bergraduasi kelak dan mendoakan pengusaha makanan akan terus dimurahkan rezeki. 

Inisiatif  ini juga akan dipanjangkan di UMP Gambang dan pihaknya yakin lebih ramai pengusaha di sekitar Gambang akan menyertai program ini.

Menurut salah seorang pengusaha makanan, Noresah Kamal,56,  atau lebih mesra dikenali sebagai Mak Ndak, berbangga  dapat menyumbang dan menyertai program ini. 

Katanya, sejak memulakan peniagaan 11 tahun lalu, warga UMP merupakan antara pengunjung di kedainya, kini sudah tiba masanya  beliau pula membantu mahasiswa yang memerlukan ini. Beliau turut berpeluang  menyertai beberapa siri program Kongsi Rezeki anjuran UMP. 

Ujarnya, sepanjang menjalankan perniagaan di Kampung Marhum, kadang kala mengenali mahasiswa yang mempunyai masalah kewangan. 

“Saya sudah menganggap mahasiswa ini seperti anak-anak saya dan diharapkan sumbangan kecil ini dapat meringankan beban mereka ini,” katanya. 

Manakala salah seorang penerima yang merupakan  pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan, Aslyana Rahman,22, amat terharu apabila terpilih sebagai penerima inisiatif MyCafé dan ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak universiti dan  pengusaha makanan yang begitu cakna dengan masalah pelajar.  Ujarnya, jasa mereka ini tak mungkin beliau lupakan sampai bila-bila.

Disediakan Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim