Singgah Sahur UMP santuni pelajar luar kampus, asnaf dan petugas barisan hadapan
KUANTAN, 18 April 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan program Singgah Sahur membabitkan beberapa agensi kerajaan di sekitar bandar raya ini.
Sebanyak tujuh kenderaan bersama kira-kira 40 sukarelawan KILAU UMP yang terdiri daripada staf dan pelajar UMP berkonvoi ke lima destinasi terpilih bagi mengagihkan 300 bungkus nasi putih berlauk ayam kari dan sayur untuk sahur, bermula jam 1 pagi.
Pengagihan juadah singgah sahur membabitkan Balai Polis Gambang, rumah sewa pelajar di Gambang Jaya, Balai Bomba Kuantan, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Balai Polis Kuantan.
Malah, program turut dimeriahkan dengan kehadiran Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Yayasan UMP dan Pendaftar UMP, Saiful Bahri Ahmad Bakarim.
Profesor Dato’ Ts. Dr Yuserrie berkata, inisiatif ini merupakan salah satu program bersempena bulan Ramadan untuk menzahirkan penghargaan kepada petugas yang menyumbang kepada negara, di samping membantu meringankan beban pelajar dengan mengagihkan sumbangan keperluan dapur Yayasan UMP tatkala mereka meraikan bulan Ramadan.
“Di kesempatan ini, kita dapat menyaksikan sendiri kehidupan pelajar luar kampus sewaktu menjalani ibadah berpuasa.
“Selain itu dapat bertemu para petugas keselamatan dan kesihatan serta mengeratkan hubungan baik dengan agensi terlibat,” katanya ketika ditemui selepas program itu.
Program ini merupakan penganjuran kedua Yayasan UMP setelah berjaya mengadakan program Singgah Sahur@Port Dickson dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Ikhlas Al-Mawaddah atau My Kasih Care.
Sebanyak 200 bungkusan makanan telah diedar kepada pelbagai agensi dan turut diedar keperluan dapur untuk dimanfaatkan golongan asnaf yang memerlukan dan pusat tahfiz di sekitar Port Dickson, Negeri Sembilan.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 113 views