UMP santuni Anak Yatim dan Asnaf Pilih Pakaian Raya
Kuantan,30 Mei- Seramai 60 kanak-kanak miskin dan anak yatim sekitar Pekan dan Kuantan menerima sumbangan baju raya dalam program Baju Raya Lebaran anjuran Persatuan Wanita Universiti Malaysia Pahang (Matahari) bertempat di Pasaraya Mydin, Kuantan.
Menurut Presiden Matahari, Prof. Datin Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim berkata , program ini merupakan program salah satu program yang diaturkan sepanjang bulan Ramadan yang bertujuan untuk meringankan beban keluarga yang memerlukan bantuan menjelangnya sambutan Hari Raya.
Prihatin terhadap nasib mereka, Persatuan Matahari terpanggil untuk sama-sama membantu dengan mengumpulkan sumbangan yang diterima daripada staf UMP dan orang ramai dengan tajaan sekitar RM120 hingga RM150 seorang.
“Kita membawa anak-anak ini bersama ibu atau bapa mereka ke pasaraya Mydin untuk memilih sendiri pakaian raya dengan dibantu oleh 20 sukarelawan yang terdiri daripada ahli persatuan,” ujarnya. Turut sama hadir Pro Pendaftar, Abd Rahman Hj Safie dan Datin Sri Fazia Ali.
Tambahnya lagi, selain program Baju Raya Lebaran, Persatuan Matahari juga turut menyumbangkan keperluan makanan dan harian termasuk beras, gula, tepung, produk minuman Milo, kuih raya dan lain-lain kepada 30 keluarga yang memerlukan sekitar UMP bagi menjayakan program MyGift UMP dengan meringankan beban golongan asnaf untuk membuat persiapan menyambut Aidil Fitri dengan lebih bermakna.
Pihak persatuan juga bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) dalam menjayakan program Jualan Amal Raya Campus Pantry bagi berkongsi kegembiraan buat mahasiswa mendapatkan pakaian secara percuma menjelangnya sambutan Hari Raya Aidil Fitri.
Beliau berharap semua inisiatif persatuan ini dapat membantu golongan yang tidak bernasib baik untuk menikmati kemeriahan Aidilfitri. Pihaknya juga merakamkan penghargaan buat penyumbang dan sukarelawan yang menjayakan program ini.
Sementara itu, Siti Aisyah Yusri, 15, berkata beliau bersama tiga lagi adiknya yang menerima sumbangan baju kurung, kasut, tudung dan jubah itu sangat gembira dan tidak sabar untuk menyambut Aidil Fitri pada tahun ini dengan pakaian baharu.
Manakala seorang lagi anak yatim, Fatin Nur Hazirah Mohd Wazir, 14, merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak persatuan dan UMP atas sumbangan ini. “Walaupun arwah ayah tidak berkhidmat lagi di UMP namun kami tetap diingati. Saya berhasrat untuk memakai baju ini ketika menziarahi pusara ayah pada hari raya pertama nanti,” katanya.
Disediakan oleh Nor Salwana Mohamad Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat.
- 156 views