UMPSA anjur program CSR cetus transformasi digital sekolah luar bandar
KUALA LIPIS, 8 April 2026 – Seramai 40 orang guru dan hampir 250 orang murid daripada 19 buah sekolah sekitar daerah Lipis telah menyertai Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR): Pembangunan Kompetensi Digital Guru dan Murid Peringkat Daerah Lipis yang berlangsung selama dua hari bermula 7 hingga 8 April 2026 di Sekolah Kebangsaan Relong, Kuala Lipis, Pahang.
Program bertemakan ‘Mendigitalkan Pendidikan, Memperkasakan Masa Hadapan’ ini merupakan inisiatif strategik anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Lipis dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Relong, Kuala Lipis selaku tuan rumah dan Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Program bertujuan memastikan komuniti sekolah luar bandar tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi pendidikan moden yang semakin pesat.
Program telah dirasmikan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Lipis, Radzey Zaidi Zainuddin dan berjaya mencetuskan gelombang transformasi digital dalam kalangan warga pendidik serta murid di daerah itu.
Antara sekolah yang terlibat termasuklah Sekolah Kebangsaan Relong, Sekolah Kebangsaan Kemahang, Sekolah Kebangsaan Batu 13, Sekolah Kebangsaan Chat, Sekolah Indera Shahbandar Pahang (SISP) SMK Clifford, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa, Sekolah Kebangsaan Batu 9, Sekolah Kebangsaan Jeram Bungor, Sekolah Kebangsaan Berchang, Sekolah Kebangsaan Penjom, Sekolah Kebangsaan Kuala Kenong, Sekolah Kebangsaan Kuala Lanar, Sekolah Kebangsaan Clifford, Sekolah Kebangsaan Tempoyang, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kuala Lipis, Sekolah Kebangsaan Gua, Sekolah Kebangsaan Wan Ibrahim, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Penjom, dan Sekolah Kebangsaan Pagar Sasak.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai modul teknologi terkini melalui kerjasama pintar bersama barisan pensyarah FK UMPSA yang diketuai oleh Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Ab Razak.
Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Faizal menzahirkan rasa bangga dan terharu di atas sambutan luar biasa yang diberikan sepanjang program berlangsung.
“Program ini adalah sesuatu yang amat mengujakan bagi kami semua.
“Mewakili seluruh pasukan, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga atas sambutan dan layanan istimewa yang diberikan oleh pihak sekolah kepada kami sepanjang kami berkampung di Kuala Lipis.
“Semoga ilmu dan pengalaman ini memberi manfaat yang besar buat semua peserta,” ujarnya.
Tambahnya, antara pengisian utama program termasuk bengkel penggunaan aplikasi Canva bagi para guru, yang memberi fokus kepada penghasilan bahan bantu mengajar seperti poster dan video mengikut keperluan pengajaran dan pembelajaran (PdP).
“Dalam bengkel ini, para guru diberikan tugasan menghasilkan bahan digital yang kemudiannya dinilai oleh fasilitator dan hasil terbaik telah dianugerahkan mengikut kategori emas, perak dan gangsa sebagai pengiktirafan terhadap kreativiti dan penguasaan teknologi peserta.
“Selain itu, program ini turut menampilkan perkongsian dan pendedahan kepada Teknologi Realiti Maya (VR) yang memberikan pengalaman pembelajaran secara imersif kepada guru dan murid.
“Para peserta juga didedahkan dengan aspek keselamatan siber bagi meningkatkan kesedaran tentang penggunaan teknologi secara selamat dan bertanggungjawab,” ujarnya.
Beliau menambah, demonstrasi serta latihan teknikal pengaturcaraan Lego Robotik turut menjadi antara tarikan utama program.
“Aktiviti ini memberi peluang kepada murid untuk memahami asas pengaturcaraan secara praktikal, sekali gus memupuk minat terhadap bidang STEM sejak peringkat awal.
“Kejayaan penganjuran program ini membuktikan bahawa sinergi erat di antara institusi pengajian tinggi dan sekolah mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan yang kompeten dalam bidang digital,” katanya.

Usaha program ini dilihat berupaya memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap pendidikan global, selaras dengan aspirasi pendigitalan pendidikan negara.
Turut terlibat sebagai fasilitator, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Arfian Ismail, Ts. Dr. Nor Saradatul Akmar Zulkifli, Ts. Dr. Danakorn Nincarean Eh Phon, Ts. Dr. Salwana Mohamad@Asmara, Ts. Dr. Anis Farihan Mat Raffei, Ts. Dr. Wan Isni Din, Ts. Dr. Mohd ‘Arif Mohamed, Ts. Dr. Ahmad Firdaus Zainal Abidin, dan Ts. Dr. Mohd Izham Mohd Jaya.
Oleh: Ts. Dr. Nor Saradatul Akmar Zulkifli, Fakulti Komputeran
- 111 views