UMPSA memeriahkan Moh LaWeh PAHANGfm bersempena dengan Sambutan Ambang Merdeka 2025
PULAU TIOMAN 30 Ogos 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memeriahkan program Moh LaWeh PAHANGfm anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Tioman bersempena dengan Sambutan Malam Ambang Merdeka yang diadakan di Dataran Tioman, Pulau Tioman.
Hadir mewakili UMPSA, Ketua Pegawai Maklumat, Profesor Ts. Dr. Hamdan Daniyal yang tampil dalam Radio Pahang FM bagi segmen DJ Corner untuk berkongsi tentang akademik dan program khidmat sosial UMPSA.
Menurutnya, kerjasama antara UMPSA dan RTM telah lama terjalin sejak sekian lama.
"Pada tahun lalu, penganjuran Sambutan Malam Ambang Merdeka diadakan di Kompleks Sukan Universiti, UMPSA Kampus Gambang bersama warga kampus.
"UMPSA juga sentiasa berusaha untuk menyantuni masyarakat setempat melalui pelbagai inisiatif khidmat masyarakat terutamanya melalui Yayasan UMPSA.
"UMPSA telah menyantuni masyarakat di sini sejak tahun 2012 menerusi penganjuran program di sekolah, pemasangan solar dan program CSR yang memanfaatkan kekuatan biodiversiti Pulau Tioman yang dapat memberikan impak positif kepada penduduk di sini," ujarnya

Pada kali ini, UMPSA melalui Yayasan UMPSA dan Pusat Komunikasi Korporat turut berpeluang menyantuni masyarakat Kampung Tekek dan mengagihkan sumbangan kit bantuan berupa barangan makanan kepada warga setempat yang memerlukan terutamanya golongan asnaf dan warga emas.
Malam sambutan turut menyaksikan pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Profesor Madya Dr. Abdul Syukor Abd Razak mendeklamasikan sajak bertajuk 'Tioman' ' pada Malam Ambang Merdeka.
Sambutan Malam Ambang Merdeka dihadiri hampir 2,000 orang dan turut diimeriahkan dengan persembahan artis terkenal Beby Acha dan Ann Ways.
Hadir sama Pengarah Penyiaran, Jabatan Penyiaran Negeri Pahang, Tuan Haji Ariffin Awang,, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman, Haji Jumshoiry Novdany Mohd Sulaiman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)/Ketua Kampung Tekek, Abd Hafaz A Hamid.
Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat
- 92 views
Reports by: