UMPSA santuni komuniti Raub rai sambutan Hari Raya Aidiladha dan Pesta Chang 2025
RAUB, 1 Jun 2025 - Menjelang Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba tidak lama lagi dan Sambutan Pesta Chang, Bahagian Bahasa Asing, Pusat Bahasa Moden (PBM) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) telah menganjurkan sambutan bersama komuniti di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Cheroh, Raub, Pahang baru-baru ini.
Program dirasmikan Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ustaz Muhammad Asri Abdul Rahim.
Hadir sama Ketua Jabatan Bahasa Asing, Dr. Wan Jumani Fauzi.
Menurut Dr. Wan Jumani, pihaknya bertuah apabila dapat mendekati komuniti Raub dan pada masa yang sama dapat mempromosikan program-program di UMPSA terutamanya untuk para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Seramai 13 orang staf terlibat dalam menyampaikan ceramah Pesta Chang, aktiviti kebudayaan untuk kanak-kanak tadika, pelajar sekolah rendah dan menengah.
“Program khidmat masyarakat ini juga turut menarik lebih daripada 300 orang komuniti Raub daripada pelbagai bangsa yang hadir bagi memeriahkan sambutan Pesta Chang dan Hari Aidiladha,” katanya.
“Saya berharap program ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa dan mendekatkan warga kampus UMPSA dengan komuniti luar,” ujarnya.
Antara aktiviti lain yang diadakan ialah senaman taichi, menganyam ketupat, teknik mengunting kertas, ceramah berkaitan Sambutan Hari Raya Aidiladha dan Pesta Chang, pelbagai aktiviti kebudayaan dan juga pameran.
Turut berlangsung Pertandingan Mewarna Kanak-kanak Tadika, Tahun 1 dan 2, sukaneka membaling gelung, boling, pitch pot dan membaling bola ping pong ke dalam sarang telur yang melibatkan pelajar sekolah tahun 3 hingga tahun 6.
Manakala bagi pelajar sekolah menengah dan dewasa pula terlibat dengan aktiviti kebudayaan seperti menganyam ketupat, seni menggunting kertas, boling kelapa dan membaling bola ke dalam tin susu.
Kegembiraan jelas terpancar di wajah para peserta saat mereka membawa pulang hadiah kemenangan, sekali gus mengukuhkan lagi ikatan silaturahim yang terjalin.
Disediakan Oleh: Yong Ying Mei, Jamilah Bebe dan Leong Hui Theng, Pusat Bahasa Moden
- 148 views