UMPSA santuni warga Felda Rentam dalam Misi Kembara Promosi TVET di Bera
BERA, 27 Julai 2024 - Sukarelawan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang terdiri daripada 20 orang staf dan 14 orang pelajar telah menyertai Program Ziarah Prihatin kepada penduduk setempat di Felda Rentam baru-baru ini.
Prihatin dengan nasib sebahagian keluarga yang dihimpit dengan kesusahan, Skuad Ziarah Prihatin yang diketuai oleh Ketua Jabatan Canseleri, Muhamad Faisal Mohd Yasin berkunjung ke 20 buah rumah keluarga di Felda Rentam.
Sumbangan rahmah turut dihulurkan kepada setiap keluarga yang dikunjungi.
Menurut Muhamad Faisal, program ziarah prihatin ini merupakan salah satu inisiatif UMPSA dalam membantu meringankan beban warga Felda Rentam khususnya.
“Ini merupakan inisiatif UMPSA dalam menyantuni warga Felda Rentam yang kurang bernasib baik.
“Semoga dengan sumbangan bakul rahmah ini dapat meringankan serba sedikit bebanan yang ditanggung oleh mereka,” ujarnya.
Menurut warga Felda Rentam, Nur Shafiqah Hasan Saari bersyukur kerana kedatangan pihak UMPSA dapat membantu warga-warga felda yang kurang bernasib baik.
“Terima kasih UMPSA yang sudi hadir ke Felda Rentam.
“Bantuan yang diberikan sangat membantu, lebih-lebih lagi di zaman ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
“Saya juga sangat gembira kerana dengan adanya program seperti ini, kami sebagai warga felda dapat pendedahan mengenai TVET terutamanya bagi generasi muda dan pelajar sekolah,” ujarnya.
Program ziarah prihatin ini diadakan sempena Program Kembara Promosi TVET di Felda Rentam, Bera yang berlangsung selama dua hari bermula 27 hingga 28 Julai 2024.
Kembara Promosi TVET ini juga merangkumi beberapa pengisian yang memberi manfaat kepada penduduk setempat antaranya, Pameran dan Mini Karnival Pendidikan UMPSA oleh pensyarah dan penyelidik UMPSA, Sesi Motivasi bersama Pegawai Psikologi UMPSA, Nur Atiqah Mohd Nor, Taklimat Akademik UMPSA oleh Abdul Qayyum Zulkifli, Taklimat Ijazah Dual UMPSA oleh Pengarah Pusat Kerjasama Strategik Akademik (PKSA), Profesor Mayda Ts. Dr. Mohd Ruzaimi Mat Rejab, Taklimat Akademik Perbadanan Tabung Pendidian Tinggi Negara (PTPTN) serta pemasangan lampu solar oleh UMPSA Advanced.
Turut diadakan Kuliah Maghrib oleh Dekan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Dr. Mohamad Hilmi Mat Said di Masjid Annajah, Felda Rentam.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 98 views