100 orang pelajar antarabangsa UMPSA dari 19 buah negara bergraduasi
GAMBANG, 26 Oktober 2024 – Seramai 100 orang graduan antarabangsa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) daripada 19 buah negara telah diraikan atas kejayaan mereka berjaya menamatkan pengajian sempena Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 pada 26 hingga 29 Oktober 2024 di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang baru-baru ini.
Mereka terdiri daripada 30 orang adalah graduan ijazah doktor falsafah (PhD), 24 orang graduan ijazah sarjana, dua orang graduan ijazah dual dan 44 orang graduan ijazah sarjana muda yang terdiri daripada graduan pelbagai fakulti dan pusat pengajian yang terdapat di UMPSA.
Menurut Anas Adel Ali Bamakhramah 24 dari Yaman yang berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kejuruteraan Mekatronik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) dengan merangkul Anugerah Hadiah Kecemerlangan Akademik Graduan Antarabangsa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (Prasiswazah).
“Saya tidak menyangka usaha keras sepanjang menuntut ilmu di universiti ini akhirnya diganjarkan dengan sebuah kejayaan yang tidak pernah dimimpikan.
“Para pelajar antarabangsa di UMPSA sentiasa diberikan sokongan yang sama dengan pelajar tempatan yang lain.
“Malah, saya amat beruntung kerana berpeluang menimba pelbagai pengalaman menarik di negara ini khususnya di UMPSA sendiri,” ujarnya.
Katanya lagi, suasana pembelajaran yang baik dan banyak aktiviti serta latihan secara ‘hand-on’ yang diterimanya menjadikan dirinya lebih bersedia untuk menghadapi alam pekerjaan.
“Nikmatilah proses pembelajaran sebaik-baiknya, bukan semata-mata kerana ingin bergraduasi tetapi ketika di universiti inilah pembentukan karakter, jati diri dan disiplin hidup dapat dibentuk.
“Pengalaman kehidupan kampus merupakan pengalaman yang akan dibawa sepanjang kehidupan kita,” jelasnya.
Manakala menurut Elnaz Yousefi dari negara Iran, graduan Ijazah Sarjana Sains dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automatif, beliau begitu gembira kerana berjaya menamatkan pengajiannya dan kini sedang menyambung pengajian peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) serta berharap dapat menamatkannya dalam tempoh yang telah dirancang.
“Secara keseluruhannya, pengalaman saya ketika belajar di UMPSA adalah baik dan saya juga turut berpeluang mempelajari bahasa dan budaya negara ini.
“Ini akan menjadi nilai tambah kepada diri saya kerana boleh belajar dan berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu walaupun di peringkat asas.
“Keunikan dan sikap masyarakat di negara ini juga membuatkan saya sering rindu akan tanah air saya,” ujarnya.
Mohammad Sojon Beg, 29 pelajar antarabangsa dari negara Bangladesh yang juga menamatkan pengajiannnya peringkat Ijazah Sarjana Sains dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Automatif menyatakan bahawa pengalaman kampus di UMPSA sangat menarik dan beliau menjalani kehidupan sebagai mahasiswa UMPSA yang sangat indah.
“UMPSA merupakan sebuah universiti yang terbaik dan persekitarannya sangat sesuai dihuni oleh para pelajar,” katanya.
Keputusannya menyambung pengajian di UMPSA merupakan antara keputusan terbaik dalam hidupnya kerana di sini beliau bukan sahaja menimba ilmu pengetahuan tetapi dapat membina jaringan kenalan dan persahabatan yang baharu.
Sokongan dan dorongan yang beliau peroleh sepanjang pengajiannya menjadikan proses pembelajarannya jadi lebih mudah dan teratur.
Seiiring dengan usia UMPSA yang menginjak 22 tahun, graduan antarabangsa universiti ini juga semakin bertambah dan merangkumi pelbagai negara yang menjadikan UMPSA sebagai destinasi pilihan mereka untuk melanjutkan pengajian mereka.
Ekosistem pendidikan UMPSA yang sistematik dan menyeluruh membuktikan usaha dan komitmen warga UMPSA di semua peringkat memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan jumlah mahasiswa antarabangsa menyambung pengajian di universiti ini.
Dari jauh datang tekad penuh di hati,
Menuntut ilmu pengalaman di cari,
Kini tiba hari di nanti,
Majlis graduasi raikan kejayaan.
Tahniah dan selamat maju jaya.
Disediakan Oleh: Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 93 views