1,854 graduan terima ijazah dan diploma pada hari kedua Majlis Konvokesyen UMPSA
GAMBANG, 9 November 2025 - Suasana penuh kegembiraan mewarnai hari kedua Majlis Konvokesyen Ke-20 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Universiti, Kampus Gambang, disempurnakan oleh Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asaari Mohamed Nor yang masuk hari kedua.
Hadir sama Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr Yatimah Alias bersama barisan pengurusan universiti.
Majlis bersejarah ini menyaksikan detik penuh bermakna bagi meraikan kejayaan graduan UMPSA yang menamatkan pengajian masing-masing dengan penuh dedikasi dan komitmen, seiring dengan aspirasi universiti melahirkan graduan holistik, bercirikan teknikal serta memiliki nilai kemanusiaan tinggi selaras dengan konsep Malaysia Madani.
Dalam ucapannya, Tan Sri Abi Musa Asaari menzahirkan rasa syukur serta mengucapkan tahniah kepada semua graduan sesi kedua iaitu 1,046 orang graduan daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) serta Fakulti Komputeran (FK) termasuk 48 orang penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan akademik pada sesi kedua.
Manakala pada sesi ketiga, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asaari menyampaikan penganugerahan ijazah sarjana muda dan diploma kepada 808 orang graduan daripada Fakulti Sains dan Teknologi Industri, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses serta Pusat Sains Matematik termasuk 36 penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan akademik.
Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asaari, menekankan bahawa kejayaan sebenar bukan sekadar gelaran akademik, tetapi kemampuan graduan memberi manfaat kepada masyarakat, menjaga kelestarian alam sekitar dan memimpin dengan hati yang rendah.
“Bawalah ilmu ini dengan rendah hati, dedikasi dan kasih sayang. Jadikan setiap langkah anda hadiah buat keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau mengucapkan tahniah juga ditujukan kepada penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Ik Shim A/P Eh Fhot dari Fakulti Komputeran yang kini berkhidmat di PERODUA sebagai System Engineer dalam bidang IT Security.
Dalam sesi graduan kedua, Ik Shim turut mewakili graduan untuk menyampaikan ucapan, membuktikan keberkesanan pendekatan Work-Based Learning (WBL) UMPSA dalam melahirkan graduan bersedia menghadapi cabaran dunia kerja.
Selain itu, menzahirkan rasa bangga kepada para graduan FTKMA, FTKPM dan FK yang menonjol dengan pencapaian cemerlang.
“Pasukan E-Motion UMPSA dinobatkan Juara Keseluruhan NxGV Challenge 2025, manakala tiga graduan berjaya mendapat tempat dalam Program Erasmus Mundus Joint Programme (EMJM) 2025 di Eropah.
“FK juga menawarkan program Ijazah Dual bersama Hanyang University Erica Campus, Korea Selatan membuka peluang pengalaman antarabangsa yang unik kepada pelajar,” ujarnya.
Dalam sesi ketiga, beliau menambah para graduan Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) dan Pusat Sains Matematik (PSM) turut mencapai kecemerlangan akademik dan inovasi.
“Penerima Anugerah Naib Canselor, Aghilan a/l Ganesan mewakili graduan untuk menyampaikan ucapan pada sesi ketiga telah membuktikan kecemerlangan akademik dan kepimpinan melalui pencapaian beliau di UMPSA dan kini di ExxonMobil.
“Contoh lain termasuk Wong Sing Yee dan Mathivanan Loganathan yang berjaya menempatkan diri di syarikat multinasional ternama seperti Infineon Technologies dan SanDisk Storage.
“Projek penyelidikan pelajar Pusat Sains Matematik, termasuk End-to-End Talent Recruitment Framework dan Bridging the Gap: Regional Poverty Prediction Using Machine Learning mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, membuktikan ilmu dan inovasi terus menjadi nadi kemajuan bangsa,” katanya.
Dalam majlis yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dr. Siti Hawa Apandi, graduan istimewa yang berjaya menamatkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (PhD) walaupun merupakan OKU fizikal.
“Beliau ialah alumni UMPSA sejak di peringkat Diploma, Sarjana Muda, Sarjana hingga ke Doktor Falsafah, namun tidak dapat hadir atas faktor kesihatan.
“Saya amat berbangga dengan semangat juang Dr. Siti Hawa yang menjadi inspirasi kepada seluruh warga UMPSA. Saya mendoakan agar beliau segera sembuh dan terus berjaya,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan graduan untuk sentiasa berterima kasih kepada keluarga, guru, pensyarah dan rakan yang banyak menyumbang kepada kejayaan mereka.
“Kejayaan sebenar ialah apabila ilmu, budi pekerti dan kesejahteraan diri serta keluarga dapat disepadukan.
“Jadilah graduan yang bukan sahaja cemerlang akalnya, tetapi luhur budinya, berintegriti dan kasih akan tanah air.
“Itulah legasi yang kekal,” pesannya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias serta seluruh warga universiti atas usaha dan dedikasi menjayakan majlis konvokesyen tahun ini.
“Terima kasih kepada seluruh warga UMPSA, daripada pengurusan tertinggi hingga sukarelawan yang bekerja keras menjayakan majlis ini. Tanpa anda, hari bersejarah ini tidak akan bersinar sebegini,” katanya lagi.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 15 views
Reports by: