Skip to main content

20 graduan sulung Ijazah Sarjana Muda Analitis Perniagaan dengan Kepujian UMPSA bergraduasi

GAMBANG, 10 November 2025 - Majlis Konvokesyen Ke-20 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencatat sejarah tersendiri apabila seramai 20 orang graduan sulung Ijazah Sarjana Muda Analitis Perniagaan dengan Kepujian dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI) berjaya menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang. 

Detik ini menjadi signifikan kerana ia merupakan graduan pertama bagi program yang mula ditawarkan pada Oktober 2021, Sesi Akademik 2021/2022.

Menurut Ketua Program, Dr. Zetty Ain Kamaruzzaman, program ini diwujudkan bagi memenuhi keperluan mendesak industri, negara dan global dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang berkaitan data. 

"Bermula dengan 24 orang pelajar kohort pertama, program ini telah berkembang pesat dan kini mempunyai 145 orang pelajar keseluruhan, terdiri daripada 140 orang pelajar aktif serta lima orang pelajar yang sedang menjalani latihan industri,” ujarnya. 

“Beberapa pencapaian penting telah dicapai antaranya pada tahun 2024, program ini menerima akreditasi penuh oleh Malaysian Qualifications Agency (MQA) (MQA/FA12547) dan seterusnya meraih pengiktirafan antarabangsa apabila Institute of Analytics (IoA), United Kingdom mengakreditasi program mulai Mac 2024. 

"Program ini juga diperkukuh melalui memorandum persefahaman (MoU) bersama SAS Institute Inc., Amerika Syarikat yang menawarkan pelajar sijil profesional SAS-UMPSA Academic Specialization in Business Analytics, satu kelebihan besar dalam pasaran kerja.

"Malah, semasa MKK-20, beberapa orang pelajar telah diraikan atas kecemerlangan mereka iaitu Lai Pei Yi yang inobatkan sebagai penerima Anugerah Emas Universiti, Yuvashankari a/p Alagesan menerima Hadiah Emas Fakulti, Pang Hui Jing menerima Hadiah Kecemerlangan Program serta Ahmad Mujahid Ishak menerima Hadiah Inovasi Projek Sarjana Muda (PSM) Terbaik," ujarnya. 

Beliau turut menambah bahawa graduan sulung program ini membuktikan kemampuan melalui pencapaian cemerlang pada pelbagai peringkat. 

"Pada peringkat antarabangsa, mereka berjaya berada dalam kelompok Top 7, Enterprise Category di pertandingan MonsoonSIM Enterprise Resource Management Competition (MERMC) International 2024. 

"Pada peringkat kebangsaan pula, pelajar membawa pulang pingat gangsa di Malaysian Analytical Business Challenge 2024, meraih tempat ketiga di PMIMY Data Analytics Hackathon 2023 dengan hadiah wang tunai RM1,000, serta tersenarai dalam Top 30 Malaysia Data Innovation Talent X DOSM Datathon 2023," katanya. 

Namun, perjalanan mereka bukan tanpa cabaran. 

Menurut Dr. Zetty, kohort pertama ini memulakan pengajian ketika pandemik COVID-19, yang memaksa mereka mengikuti tahun pertama secara dalam talian sepenuhnya. 

"Walau begitu, motivasi tinggi, sokongan keluarga, komitmen pensyarah serta inisiatif universiti dalam menyediakan platform pembelajaran maya membantu mereka mengatasi segala kesukaran.

"FPI turut memainkan peranan besar dalam membentuk pelajar melalui hubungan erat dengan industri. 

"Pelbagai sesi perkongsian pakar, lawatan industri dan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) memberi pendedahan sebenar kepada pelajar," jelasnya. 

Bagi Dr. Zetty Ain, pensyarah bukan sahaja membimbing dari aspek ilmu pengetahuan tetapi turut menekankan sikap dan kemahiran melalui aktiviti dalam dan luar kelas bagi memastikan pelajar bersedia memasuki alam pekerjaan.

"Prospek kerjaya bagi graduan Analitis Perniagaan juga amat luas. 

"Selain kerjaya utama sebagai penganalisis perniagaan (business analyst), graduan berpeluang meneroka pelbagai jawatan berkaitan data di dalam dan luar negara, seiring permintaan industri terhadap kepakaran analitis," katanya.

FPI menzahirkan harapan agar graduan sulung ini terus memanfaatkan ilmu yang diperoleh dan menjadi individu yang berjaya di dunia dan akhirat. 

Pihak program turut merakamkan penghargaan kepada semua tenaga pengajar dariFPI, Pusat Sains Matematik (PSM) dan Fakulti Komputeran (FK) atas sumbangan dan komitmen mereka dalam pembangunan program.

Melihat ke hadapan, kohort pertama ini menjadi penanda aras penting kepada program. 

Sebagai usaha berterusan memastikan program kekal relevan dan memenuhi keperluan semasa negara, proses semakan kurikulum menyeluruh sedang dilaksanakan mulai tahun 2025, menandakan komitmen UMPSA untuk terus melahirkan tenaga profesional berkemahiran tinggi dalam bidang analitis perniagaan.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri