3 Guru Bahasa Kanan UMPSA berjaya genggam ijazah sarjana
GAMBANG, 26 Oktober 2024 - Kesibukan bekerja dan pada masa yang sama menyambung pengajian sarjana bukan halangan bagi tiga orang Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) untuk menamatkan pengajian ijazah sarjana secara separuh masa.
Aishah Hanum Abu Bakar, Noraisah Nurul Fatwa Mohd Razali dan Nabila Abdul Malek merupakan graduan rintis untuk program Sarjana Sains Pengajian Bahasa Berintegrasi Teknologi.
Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 kali ini menyaksikan seramai 5,115 orang graduan yang berjaya bergraduasi pada pelbagai peringkat bermula peringkat diploma sehingga ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).
Majlis konvokesyen itu telah disempurnakan oleh Pro-Canselor UMPSA, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut sama hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.
Menurut Ketua Jabatan Bahasa Inggeris, PBM, Dr. Umi Kalsom Masrom, kesungguhan dan kecekalan ketiga-tiga guru bahasa ini dalam menuntut ilmu dan meningkatkan tahap pendidikan sehingga berjaya menerima ijazah sarjana wajar dijadikan contoh.
Beliau juga turut mengucapkan tahniah dan berharap lebih ramai staf akan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Menurut Guru Bahasa Kanan, Aishah Hanum Abu Bakar, melanjutkan pengajian peringkat sarjana adalah sesuatu yang tidak pernah beliau bayangkan untuk diri sendiri.
“Namun, pada suatu hari, saya membuat keputusan yang tidak dijangka untuk mencubanya, dan saya amat bersyukur kerana berjaya melakukannya.
“Saya menyedari betapa pengalaman mengajar selama bertahun-tahun memainkan peranan penting terhadap kerja kursus dan sudah tentu ia membantu saya untuk menyiapkan tugasan serta penilaian dengan jayanya,” ujarnya.
Manakala Guru Bahasa Kanan PBM, Nabila Abdul Malek pula turut melahirkan kesyukuran dengan kejayaan yang dikecapinya hari ini.
Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada suami dan ibu bapa atas sokongan, kasih sayang, bimbingan dan juga pengorbanan yang diberikan selama ini.
“Ucapan terima kasih juga diberikan kepada penyelia dan para pensyarah atas tunjuk ajar, bimbingan dan dorongan yang diberikan sepanjang tempoh pengajian ini.
“Kepada keluarga dan rakan-rakan, terima kasih atas setiap kata-kata semangat.
“Saya tidak mungkin berjaya tanpa anda semua dan pencapaian ini adalah milik kita bersama,” ujarnya.
Manakala menurut Guru Bahasa Kanan, Noraisah Nurul Fatwa Mohd Razali, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada suami tercinta, anak-anak dan keluarga yang sentiasa menjadi sumber kekuatan kepada beliau sepanjang perjalanan ini.
“Tidak dilupakan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada penyelia saya, Dr. Asiah Kasim atas dedikasi, tunjuk ajar dan bimbingan yang tidak ternilai harganya.
“Tidak lupa kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang sentiasa bersama, berkongsi suka dan duka dalam mengejar impian ini.
“Kejayaan ini tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan dan dorongan kalian semua,” katanya.
Di sebalik kesibukan menunaikan tanggungjawab besar sebagai tenaga pengajar, isteri dan ibu, kejayaan ketiga-tiga Guru Bahasa Kanan UMPSA ini membuktikan bahawa kesungguhan dan komitmen mereka dalam menjadi sebahagian agen perubahan positif dalam masyarakat yang madani dan seimbang ilmu pengetahuan.
Malah, kejayaan mereka juga turut membuktikan bahawa dengan kerja keras, kesabaran dan iltizam, tiada perkara yang mustahil untuk dicapai.
Tahniah diucapkan kepada mereka dan semoga terus mencapai kejayan-kejayan lain pada masa akan datang.
Disediakan oleh: Jamilah Bebe Mohamad, Rosnani Ismail, Siti Ainun Jariyah Hassan Dan Nurkarimah Yusof, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 60 views