Skip to main content

33 Alumni UMPSA memeriahkan Majlis Konvokesyen Ke-20

GAMBANG, 8 November 2025 – Suasana penuh meriah dan bersemangat menyelubungi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) apabila buat julung kalinya alumni dijemput untuk turut sama terlibat di dalam Majlis Konvokesyen Ke-20 sebagai Perarakan Alumni. 

Perarakan ini bukan sekadar simbolik sambutan konvokesyen, tetapi juga manifestasi hubungan berterusan alumni dengan universiti. 

33 Alumni UMPSA memeriahkan Majlis Konvokesyen Ke-20

Alumni adalah duta yang membawa nama baik UMPSA di persada nasional dan antarabangsa.  

Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Ts. Dr. Azri Alias berkata, penglibatan alumni pada majlis konvokesyen ini memperlihatkan hubungan baik dan sokongan berterusan alumni kepada universiti. 

“Program sebegini juga dilihat sebagai platform yang dapat memperkukuh lagi jaringan profesional antara alumni dan alma mater,” ujarnya. 

Mohd Husne bin Safee, alumni Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian), daripada Fakulti Komputeran, meluahkan rasa teruja atas peluang yang diberikan untuk turut sama meraikan majlis konvokesyen pada tahun ini. 

Beliau yang merupakan graduan kumpulan pertama pada tahun 2006 dan kini bertugas sebagai Pengurus, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut menasihatkan para mahasiswa untuk menggunakan sebaiknya peluang semasa belajar di universiti serta menimba sebanyak mungkin pengalaman sebagai bekalan dan persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan. 

Manakala bagi Ts. I.D Safairis Amat Noor yang kini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Putrajaya, meluahkan rasa terharu kerana dapat bersama-sama menyertai perarakan ini. 

“Ia mengingatkan saya kepada detik-detik awal kami meniti perjalanan akademik di UMPSA, yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM),” katanya. 

Beliau yang merupakan alumni Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) (2007) turut berharap agar lebih ramai alumni diberi peluang menyertai perarakan sempena majlis konvokesyen ini. 

Perarakan alumni ini melibatkan seramai 33 bekas pelajar daripada pelbagai fakulti dan tahun pengajian, termasuk sebahagian besar merupakan alumni kumpulan pertama UMPSA sejak penubuhannya lebih dua dekad lalu.

33 Alumni UMPSA memeriahkan Majlis Konvokesyen Ke-20

Disediakan Oleh: Nadira Hana Ab Hamid, Pusat Perhubungan Alumni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim