5 graduan UMPSA anak Pahang penerima Hadiah Kecemerlangan Yayasan Pahang
GAMBANG, 26 Oktober 2024 – Seramai lima orang graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang merupakan anak Pahang telah diiktiraf sebagai penerima Hadiah Kecemerlangan oleh Yayasan Pahang kerana menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik dan aktiviti kokurikulum.
Kesemua mereka menerima anugerah dalam Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Ganbang.
Muhammad Amir Aminuddin, 24, dari Kuantan kini bekerja di Petronas Dagangan Berhad sebagai protege selama setahun dan akan tamat pada Jun 2025.
Beliau yang memiliki Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.80 juga amat aktif dalam Persatuan Mathelites dan pernah memenangi pingat gangsa dalam pertandingan CITREX menerusi projeknya yang bertajuk ‘Predictive Maintenance Dashboard for Computer Numerical Control Machines’.
Amir mengakui, UMPSA banyak menyediakan kemudahan yang lengkap dan para pensyarahnya juga amat berkualiti.
Manakala bagi graduan Nurul Afifah Che Alias, 30, beliau kini bekerja sebagai Digital-IT Associate di Malaysia Aviation Group.
Nurul Afifah percaya bahawa kejayaannya adalah hasil sokongan ibu bapa dan pembelajaran yang berkualiti di UMPSA.
Dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.75, beliau juga pernah meraih pelbagai anugerah dan terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum.
Manakala bagi graduan yang juga pernah menerima Bantuan Insentif Kecemerlangan Matrikulasi -Yayasan UMPSA pada tahun 2020, Fatin Ayu Kartika Mohd Suzaki, 24, pula kini bekerja sementara di Stesen Minyak Petronas.
Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) dengan Kepujian dan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.77.
Beliau turut aktif dalam organisasi pelajar menerusi Persatuan Permuafakatan Siswa Siswi Felda (PERSADA), Exco PEKA 3 dan Yayasan UMPSA.
Fatin bertekad untuk memberi sumbangan positif kepada masyarakat.
Ummu Najwa Nur Yusrizal, 25 tahun pula pernah dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) semasa Majlis Aspresiasi Pelajar Tahun Akhir.
Beliau kini sedang melanjutkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (Kejuruteraan Awam) di UMPSA.
Ummu Najwa memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.70 dan aktif dalam Sekretariat Majlis Anak-anak Pahang.
Beliau berharap untuk memperoleh ijazah kedoktoran (PhD) dalam tempoh tiga tahun.
Ujarnya, suami dan anaknya merupakan penyumbang terbesar kepada kejayaannya pada hari ini.
Turut menerima Hadiah Kecemerlangan Yayasan Pahang ialah Muhammad Farrish Azran Azuwan, 25, dari Pekan.
Beliau kini sedang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Sains di UMPSA selepas membantu keluarganya menguruskan perniagaan.
Muhammad Farrish yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.77, juga aktif dalam pelbagai persatuan di UMPSA.
Prinsip hidupnya adalah untuk tidak mengharapkan apa-apa.
Lima orang pelajar UMPSA ini bukan sahaja menunjukkan kejayaan akademik yang cemerlang tetapi juga turut memberi inspirasi kepada masyarakat Pahang Darul Makmur.
Disediakan Oleh: Hafizatulazlin Abdul Aziz, Pusat Komunikasi Korporat