83 graduan Doktor Falsafah UMPSA tamat pengajian tahun ini
GAMBANG, 25 Oktober 20204 - Seramai 83 graduan Doktor Falsafah (PhD) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) diraikan sempena kejayaan mereka menamatkan pengajian pada Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 tahun ini.
Kesemua mereka diraikan dalam Hooding Ceremony for PhD Graduans 2024 anjuran Institut Pengajian Siswazah (IPS).
Daripada jumlah tersebut, 53 orang adalah graduan tempatan manakala 30 lagi merupakan graduan antarabangsa daripada pelbagai negara.
Majlis itu diadakan sebagai penghargaan kepada para graduan yang telah menempuh segala cabaran dan perit getir pengajian demi memperoleh ijazah kedoktoran.
Selain itu, ia juga sebagai penghormatan kepada para penyelia yang turut sama menyumbang kejayaan pelajar di bawah seliaan mereka.
Menurut Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, UMPSA percaya kecemerlangan bukanlah destinasi tetapi ia merupakan perjalanan berterusan.
“Impian strategik kami, seperti yang digariskan di dalam UMPSA Pelan Strategik 2021-2025 adalah untuk meletakkan universiti ini sebagai sebuah universiti global yang cemerlang dalam penyelidikan, inovasi dan pembelajaran transformatif.
“Justeru, marilah kita bersama-sama membina jenama UMPSA dan membawa universiti ini menjadi antara universiti terbaik di Malaysia.
“Saya juga berharap agar alumni siswazah UMPSA sentiasa berhubung dengan penyelia dan rakan universiti di samping dapat menyumbang bakti dalam bidang akademik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 pada tahun ini turut meraikan seramai 263 graduan pascasiswazah iaitu 83 graduan PhD, 96 graduan Sarjana Mod Penyelidikan, 84 graduan Sarjana Mod Kerja Kursus dan Sarjana Mod Campuran.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 97 views