Aiman Firdaus penerima Anugerah Kecemerlangan UMW Holdings Bhd. bukti pelajar Kolej Vokasional boleh berjaya
GAMBANG, 26 Oktober 2024 – Bekas pelajar Kolej Vokasional Temerloh (KVT), Aiman Firdaus Aziz, 25 buktikan kejayaannya tidak terhenti pada peringkat diploma sahaja, malah beliau kini bukan sahaja pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Automotif dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), malah turut menerima Anugerah Kecemerlangan UMW Holdings Bhd. dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19.
Ketika itu, walaupun UMPSA telah membuka program baharu untuk pelajar sepertinya, beliau masih ragu-ragu dan tidak yakin adakah beliau mampu untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah.
Bapanya, Aziz Awang, 51, Inspektor Kesihatan, Pejabat Daerah Temerloh dan Suziyanti Marjan, Guru Matematik Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tualang, Temerloh, menjadi sumber pembakar semangat dan pendorongnya untuk beliau menyambung pelajaran.
“Saya sedar sokongan daripada kedua ibu dan bapa adalah perkara yang amat penting dalam menentukan kejayaan dan hala tuju seorang anak.
“Ucapan terima kasih tidak terhingga saya tujukan buat mereka,” katanya.
Bukan itu sahaja, semasa beliau menjalani Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) di MMC Manufacturing Malaysia, beliau turut dianugerahkan Sijil Pencapaian Terbaik Karakuri Kaizen untuk projek tahun akhir, Space Optimization in Production Line at MMCMM Door Module.
“Tamat sahaja WBL selama setahun, saya telah diserap masuk sebagai Eksekutif Pengeluaran dan belajar bagaimana sebuah kilang beroperasi.
“Idea dan cadangan saya disambut baik dan telah digunakan di kilang tersebut.
“Selain itu, saya turut dipertanggungjawabkan untuk beberapa projek dan dihantar menyertai beberapa kursus bagi meningkatkan kemahiran saya,” katanya.
Beliau yang gemar membaiki dan menjual kereta telah menjadikan hobinya itu sebagai sumber pendapatan kedua.
“Hobi ini telah memberi banyak peluang kepada saya untuk mempelajari bagaimana menjalankan perniagaan dan pasaran kereta.
“Malah, saya juga lebih mahir dalam memilih model-model kereta yang sesuai dengan sasaran pelanggan bermula dari kereta tempatan sehinggalah kereta luar negara seperti Toyota, Mercedes dan lain-lain.
“Saya juga turut menjalankan beberapa perniagaan lain seperti penginapan homestay dan makanan bersama keluarga.
“Saya berpendapat, perniagaan mampu melatih saya untuk lebih kuat menghadapi cabaran ekonomi pada masa kini,” katanya.
UMPSA telah memberikan kemudahan yang baik kepada para pelajar daripada aspek pembelajaran, tempat tinggal, pengangkutan dan lain-lain.
“Ini telah menjadi salah satu dorongan kepada para pelajar untuk lebih belajar dengan selesa.
“Di samping itu juga, UMPSA sentiasa menitikberatkan subjek pembelajaran bagi memastikan subjek yang diambil oleh para pelajar sesuai dan relevan dengan industri semasa.
“Pendekatan pembelajaran seperti lawatan ke industri turut diberikan sebagai pendedahan awal kepada pelajar tentang dunia pekerjaan.
“Ini memberi kelebihan kepada para pelajar, supaya apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan, mereka sudah bersedia dengan ilmu yang dipelajari semasa di UMPSA,” ujarnya yang memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester.
Tambah Aiman lagi, beliau akan sentiasa mengisi masa lapangnya dengan perkara yang bermanfaat bagi memastikan masa digunakan dengan baik.
“Disiplin dan hala tuju yang jelas juga merupakan perkara yang penting untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau juga turut ditawarkan untuk menyambung pengajian ke ijazah sarjana dan secara laluan pantas (fast track) di UMPSA.
Ini turut membuktikan bahawa pelajar Kolej Vokasional boleh menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat