Ameerul Ashraff 7 Kali Anugerah Dekan Raih Anugerah
Kuantan, 16 November - Terkejut dan tidak percaya adalah reaksi pertama Ameerul Ashraff Muhammad Fauzi, 23, apabila mengetahui namanya tersenarai penerima Anugerah Kecemerlangan Sapura Industrial Berhad pada Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-14, di sini.
Ameerul Ashraff yang berasal dari Kuala Lumpur ketika ditemui berkata beliau bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.80 dan pernah menerima Anugerah Dekan sebanyak tujuh kali sepanjang pengajian.
Menjadikan ibu bapa, Muhamad Fauzi Abdullah , 53 dan Ilya Binti Ariffin, 49 sebagai sumber inspirasi dan pemangkin semangat selama 6 tahun berada di UMP. Mereka selalu mendoakan dan memberikan kata-kata semangat buatnya untuk sentiasa berusaha dan tidak berputus asa. Selain itu, pensyarah dan kawan-kawan juga turut membantu sepanjang proses pembelajaran di Universiti ini.
Berkongsi mengenai kejayaannya, Ameerul Ashraff berkata, tiada yang dipanggil kesenangan jika tidak melalui kepayahan. Segala permasalahan pasti ada penyelesaiannya. Kesungguhan adalah kunci kejayaan fahami, dalami dan memahami adalah kunci kefahaman dan penyelesaian masalah dalam kehidupan.
Pada masa sama, beliau mengharapkan mahasiswa yang masih berada dalam pengajian supaya dapat bergraduasi dengan keputusan cemerlang. Beliau juga menasihatkan para mahasiswa untuk mengingati Allah SWT sebagai perkara utama dalam setiap perkara yang dilakukan.
“Jangan lupa doa, usaha, ikhtiar dan tawakal. Di samping itu, jangan berputus asa, berusaha selagi ada masa, berbakti kepada ibu bapa dan keluarga, hormatilah para pendidik dan murabbi, sentiasa merendah diri dan tidak lokek berkongsi ilmu malah kita juga hendaklah memberi sokongan kepada rakan-rakan seperjuangan, katanya.
Disediakan Siti Nur Azwin Zulkapri daripada Bahagian Komunikasi Korporat
- 120 views