Skip to main content

Anak Polis Bantuan, Nadjwa Farhana terima Anugerah Profesor Dato' Dr. Mashitah Mohd Yusoff

GAMBANG, 8 November 2025 – Nadjwa Farhana Sallehuddin, anak kepada Polis Bantuan Tenaga Nasional Berhad, Sallehuddin Abd Wahid, 53 dan Norita Haironi, 59 terkejut dan tidak menyangka akan menerima Anugerah Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-20 hari ini.

Katanya, beliau berjaya menamatkan pengajian dengan baik walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Itu adalah antara nikmat yang tidak boleh diluahkan. 

“Pengalaman ini pastinya paling bermakna yang takkan saya lupakan.

“Anugerah ini saya tujukan buat kedua ibu bapa saya, para pensyarah dan rakan-rakan kerana tanpa sokongan serta doa mereka mustahil untuk saya meraih anugerah ini,” ujarnya. 

Nadjwa Farhana berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian dengan meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.62.
 
Graduan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) itu sentiasa berpegang pada prinsip untuk terus belajar dan berkembang. 

Baginya, kita perlu percaya pada setiap proses, sama ada kejayaan atau kegagalan jika dilakukan secara berterusan pasti akan membuahkan hasil yang baik.

Anak jati Batu Pahat, Johor ini turut menceritakan pengalaman berharga apabila dapat menjalani latihan industri di Delta Aerospace.

“Saya berpeluang melibatkan diri secara terus dengan operasi sebenar industri kapal terbang, menimba ilmu tentang kapal amfibia dan undang-undang pembinaan dan operasi kapal terbang.

“Penekanan terhadap pembelajaran berasaskan amalan industri di UMPSA banyak membantu saya untuk memahami dan mengaplikasikan teori sewaktu praktikal.

“Ini merupakan kelebihan besar kepada graduan UMPSA dalam pasaran kerja,” katanya. 

Nadjwa turut bergiat aktif dalam bidang kokurikulum baik di dalam negara mahupun luar negara seperti Program Mobility Malaysia-China Advanced TVET di Liuzhou Railway Technical College, China, 2024 Aerospace Bootcamp di Universiti Malaya (UM) dan 2024 Selangor Air Show di Subang Jaya. 

Malah, beliau juga turut menyertai Sekretariat Ikatan Siswa Anak Darul Takzim

Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim