Anugerah Kecemerlangan Malakoff Corporation milik Jeevanraj
GAMBANG, 26 Oktober 2024 - Menerima Anugerah Dekan sepanjang pengajian di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pengurusan (Infrakstruktur) dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Jeevanraj a/l Selvaraj, 25, berbangga menjadi antara penerima anugerah sempena Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 yang berlangsung hari ini.
Menurut anak jati Pulau Pinang itu yang menerima Anugerah Kecemerlangan Malakoff Corporation, beliau tidak menjangka dapat meneruskan konsisten kecemerlangan dalam akademik sepanjang pengajiannya.
“Sepanjang tujuh tahun di UMPSA bermula dari pengajian diploma hingga ke ijazah sarjana muda, saya dapat melihat kemajuan dan naik taraf UMPSA dari segi kemudahan serta kaedah pembelajaran yang sangat kondusif.
“Tenaga pengajar UMPSA yang berpengalaman dan bertanggungjawab turut membantu saya dalam mengekalkan kecemerlangan ini,” ujarnya.
Berpegang kepada prinsip memberikan kembali apa yang diterima, Jeevanraj mengharapkan dapat mengekalkan kitaran perkembangan dan meneruskan pembelajaran sepanjang hayat agar dapat meningkatkan taraf kehidupannya
Tidak hanya itu, beliau juga turut mengharapkan dapat menjadi insan yang bermanfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Padanya, pendidikan adalah kunci bagi pembinaan masyarakat yang insaniah dan intelektual.
Jeevanraj kini bertugas sebagai Eksekutif Perundingan di sebuah syarikat perbadanan multinasional dikenali ERM (M) Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur.
Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat