Ayah dan anak graduan Bacelor Eksekutif Pengurusan Perniagaan berkongsi pentas raih kejayaan
KUANTAN, 29 Oktober 2024 – Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19 menyaksikan detik istimewa apabila seorang bapa dan anak perempuannya bersama-sama bergelar graduan Bacelor Eksekutif Pengurusan Perniagaan.
Mohd Zaki Awang, 53, dan puteri ketiganya, Aina Afiqah Mohd Zaki, 24, berkongsi pentas untuk menerima ijazah masing-masing yang menjadikan konvokesyen kali ini sebagai kenangan manis buat keluarga mereka.
Menurut isteri Nor Azlina yang merupakan isteri kepada Mohd Zaki, beliau tidak dapat menyembunyikan perasaan bangga apabila melihat suami dan anaknya berkongsi pentas untuk menerima ijazah.
“Sebagai ibu dan isteri, saya berasa amat bangga kerana di usia 53 tahun, suami dapat menamatkan pengajian walaupun kekangan masa serta komitmen terhadap keluarga.
“Saya selalu memberi semangat kepada mereka dalam menyiapkan tugasan yang diberikan.” ujarnya.
Manakala, menurut Aina Afiqah, beliau turut berkongsi perasaan gembira dan terharu apabila menerima ijazah bersama dengan ayahnya.
“Saya berbangga dapat menamatkan pengajian ini dengan jayanya walaupun membuat dua kerja dalam satu masa.
“Tetapi yang paling terpahat memori adalah dapat kenal dengan rakan-rakan baharu dan menimba pengalaman sebagai pelajar jarak jauh.
“Hari ini kami berdua akhirnya berjaya, dan ia benar-benar satu kebanggaan buat keluarga,” kata Aina.
Mohd Zaki pula berkata, pengalaman paling mencabar sepanjang pengajian adalah perjalanan untuk menghadiri ke kelas dari Johor ke Pahang.
“Ia ternyata merupakan pengalaman manis yang akan diingati sepanjang hidup saya.
“Saya amat bersyukur kerana UMPSA telah menyediakan satu laluan pembelajaran yang fleksibel sesuai dengan komitmen dan kerjaya saya sebagai Eksekutif Perolehan dan Logistik di sebuah syarikat terkemuka di Pengerang,” ujarnya.
Disediakan oleh: Mohammad Syafiq Syahmi Suhaimi, UMPSA Advanced
- 161 views