Skip to main content

Bapa dan anak rai kejayaan bersama di 2 majlis konvokesyen berbeza

GAMBANG, 10 November 2025 – Tidak ada yang lebih membahagiakan bagi seorang bapa selain melihat anaknya berjaya.

Namun, bagi  Fadzil Rafi Ahmad Hilal, 48, kejayaan itu menjadi lebih manis apabila beliau dan anak sulungnya diraikan dalam dua majlis konvokesyen berbeza pada minggu yang sama.

Bekas pegawai kanan di sebuah bank tempatan itu kini bergelar Perunding Kewangan Bebas (Financial Consultant) selepas berjaya menamatkan pengajian Bacelor Eksekutif Pengurusan Perniagaan daripada UMPSA Advanced pada sesi kelima di Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 yang berlangsung pada 10 November 2025.

Lebih membanggakan, hanya seminggu sebelum itu, anak sulung beliau turut melangkah ke pentas graduasi apabila menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pembangunan Perisian) daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang telah berlangsung pada 3 November 2025 baru-baru ini. 

Katanya, perjalanan ini bukan mudah, banyak suka duka sepanjang tempoh belajar. 

“Mengimbangi kerjaya, keluarga dan pengajian memerlukan disiplin serta kesabaran yang tinggi. 

“Namun saya ingin buktikan kepada anak-anak bahawa menuntut ilmu tidak mengenal usia. 

“Malah, saya memang merancang agar kami dapat berkonvo pada tahun yang sama,” ujar Fadzil sambil tersenyum bangga.

Beliau mengakui pengalaman menuntut ilmu di usia matang mengajarnya banyak perkara, daripada mengurus masa dengan lebih baik hinggalah memperkukuh semangat juang dalam menghadapi cabaran baharu.

Selain aktif dalam dunia kewangan, Fadzil juga dikenali sebagai individu yang dekat dengan masyarakat apabila pernah memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan Ayer Keroh.

Kisah beliau menjadi bukti bahawa semangat pembelajaran sepanjang hayat bukan sekadar slogan, sebaliknya satu perjalanan berharga yang mampu mengubah diri dan memberi inspirasi kepada generasi muda.

Ujarnya, selagi ada keinginan, ilmu tidak pernah terlambat untuk dicari. 

“Kejayaan bukan hanya untuk diraikan, tetapi untuk dikongsi bersama orang tersayang,” katanya.

Kejayaan dua beranak ini jelas membuktikan bahawa ilmu merupakan pelaburan terbaik dalam kehidupan kerana dari ilmu lahir keyakinan, kematangan dan inspirasi untuk terus melangkah lebih jauh.

Bapa dan anak rai kejayaan bersama di 2 majlis konvokesyen berbeza

Disediakan Oleh: Noraini Yusoff, Pusat Komunikasi Korporat.

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim