Skip to main content

Boo Shi Rou seimbangkan dunia Kejuruteraan dan Pendidikan Maya

GAMBANG, 8 November 2025 – Di sebalik jadual kuliah yang padat dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, Boo Shi Rou, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) membuktikan bahawa semangat menimba ilmu dan menyebarkannya boleh berjalan seiring.

Setiap malam selepas kuliah, sementara rakan sebilik berehat, Boo Shi Rou menyalakan skrin komputer ribanya, bukan untuk menyemak nota, tetapi untuk mengajar murid-murid sekolah rendah membaca melalui panggilan video.

Suara ceria kanak-kanak inilah yang menjadi peneman malamnya sepanjang bergelar pelajar universiti.

Ujarnya, pada waktu siang beliau merupakan pelajar mekanikal.

“Pada waktu malam pula saya sebagai cikgu dalam talian.

“Semasa cuti semester, saya bekerja sebagai guru tadika.

“Dunia pendidikan memberi saya pengalaman berbeza yang banyak mengajar tentang kesabaran, komunikasi dan juga empati,” ujarnya yang kini bekerja sebagai Jurutera Aplikasi.

Beliau turut menjadikan kerja sambilan sebagai guru dalam talian sebagai sumber pendapatan tetap setiap bulan bagi menampung keperluan harian di kampus.

Bagi Boo Shi Rou, pengalaman membahagikan masa antara dunia kejuruteraan dan pendidikan bukan sekadar mencabar, tetapi turut membentuk dirinya menjadi seorang yang berdikari, cekap mengurus masa dan bersemangat membantu orang lain.

Jelas anak kelahiran Muar ini lagi, setiap pelajar ada cara tersendiri untuk berjaya.

“Bagi saya, suara murid-murid yang belajar membaca setiap malam menjadi motivasi utama untuk terus berusaha,” jelasnya sambil mengukirkan senyuman.

Boo Shi Rou antara graduan yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 iaitu simbol penamat kepada perjalanan penuh ketekunan dan dedikasi.

Kisahnya menjadi inspirasi kepada rakan-rakan graduan lain bahawa kejayaan tidak hanya diukur melalui segulung ijazah, tetapi juga melalui nilai kemanusiaan dan semangat memberi yang disemai sepanjang perjalanan ilmu.

Disediakan  Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim