Chan Jian Lin terima Anugerah Kecemerlangan Sapura Industrial Berhad, jadikan kejayaan sebagai batu loncatan masa depan
GAMBANG, 9 November 2025 – Keazaman dan kerja keras akhirnya membuahkan hasil apabila Chan Jian Lin, 24, berjaya meraih Anugerah Kecemerlangan Sapura Industrial Berhad sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia UMPSA yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang.
Penganugerahan yang disampaikan oleh Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor dilihat sebagai batu loncatan untuknya pada masa depan.
Graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) ini berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.82.

Bagi Jian Lin, kejayaan ini bukan sekadar simbol kecemerlangan akademik, tetapi juga menjadi ‘batu loncatan’ untuk terus melangkah lebih jauh dalam bidang Kejuruteraan yang diminatinya sejak kecil.
“Kejayaan ini adalah hasil sokongan ibu bapa dan rakan-rakan yang sentiasa membantu.
“Saya percaya selagi arah usaha kita tidak salah, jangan sesekali berputus asa,” katanya penuh semangat ketika ditemui.
Anak ketiga kepada pasangan Chan Weng Yuen, 59, dan Cheng Yek Yang, 54, menjadikan latar belakang sederhana keluarganya sebagai inspirasi untuk terus berusaha mencapai kejayaan.
Menurutnya, pengalaman menuntut di UMPSA telah banyak mengajarnya tentang pentingnya pengurusan masa yang berkesan serta nilai moral dan tanggungjawab dalam kerja berpasukan.
“Setiap orang mempunyai masa yang sama dalam sehari, tetapi yang membezakan ialah bagaimana kita menggunakan masa itu untuk berusaha,” ujarnya.
Selain cemerlang dalam akademik, Jian Lin turut aktif dalam e-sukan (E-sport) yang menjadi hobinya untuk terus kekal fokus.
Dengan semangat dan disiplin yang tinggi, Jian Lin berhasrat untuk terus menyumbang kepada pembangunan industri kejuruteraan negara serta menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk tidak mudah mengalah dalam mengejar impian.
“Kejayaan ini bukan penamat, tetapi permulaan untuk terus berusaha dengan lebih gigih,” katanya.
Chan Jian Lin kini menyambung pelajaran di peringat Sarjana Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Malaysia (UM) dan merupakan antara 4,259 graduan pada Majlis Konvokesyen kali ini.
Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat
- 45 views