Charissa Endar terima Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita
GAMBANG, 26 Oktober 2024 – Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan dengan Kepujian, Charissa Endar, 24, menerima Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19 bertempat di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.
Beliau berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.85.
Charissa yang berjaya memperoleh Anugerah Dekan setiap semester sebanyak tujuh kali berturut-turut itu, kini berkerja sebagai Regional Management Trainee di Syarikat Maersk, Shah Alam Selangor.
Menurutnya, beliau berhasrat untuk terus mempelajari kemajuan teknologi, inovasi dalam perniagaan dan transformasi digital terutama dalam sektor seperti logistik, automasi dan pengurusan data.
“Semasa di UMPSA, saya turut terlibat dengan aktiviti kokurikulum malah pernah menjawat jawatan penting di dalam persatuan dan beberapa program anjuran universiti.
“Saya pernah menyandang jawatan sebagai Exco Keusahawanan dan Ekonomi ISKANDAR 2019/2020 dan pernah mendapat pingat emas dalam program CITREX UMPSA 2024,” katanya.
Selain itu, beliau juga sering menyertai pelbagai program lain seperti SUKFAC Bola Keranjang 2024 dan aktiviti yang dianjurkan oleh kelab serta persatuan yang lain.
Kegagalan dahulu pernah melemahkan semangatnya untuk terus melanjutkan pengajian di UMPSA.
Namun atas dorongan keluarga, beliau tetap bangkit dan berusaha untuk menjadi yang terbaik.
Beliau beranggapan bahawa gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya.
Katanya, prinsip hidup beliau adalah pembelajaran berterusan.
“Ini adalah kerana ilmu tidak pernah berhenti berkembang.
“Saya juga percaya bahawa kepentingan belajar sepanjang hayat dan memperbaiki diri dalam setiap aspek.
“Kejayaan terbesar adalah apabila saya berjaya mencipta satu barcoding system menggunakan Microsoft Access yang menggantikan manual recording untuk sebuah Perniagaan Kecil dan Sederhana (SME), walaupun saya tidak mempunyai ilmu coding,” katanya.
Menerusi produk tersebut, beliau berjaya menyertai pertandingan CITREX.
Katanya, kejayaan yang diperoleh kini adalah hadiah buat kedua ibu bapanya yang telah pencen.
Disediakan Oleh: Noraini Yusoff, Pusat Komunikasi Korporat
- 72 views