Skip to main content

Dari Hampir Tercicir Ke Menara Gading, Kadet Terbaik PALAPES Udara UMPSA, Muhamad Yani Bangkit Gapai Sinar Kejayaan

GAMBANG, 9 November 2025 - Perjalanan hidup penuh ranjau graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) yang berasal dari Tawau, Sabah akhirnya menemui sinar kejayaan.

Muhamad Yani Juriany,27 akhirnya mampu tersenyum bangga apabila segala penat lelahnya membuahkan hasil apabila berjaya menggenggam Ijazah sempena Majlis Konvokesyen UMPSA baru-baru ini dengan CGPA 3.36.

Ujarnya, pendidikan adalah kunci utama dalam mengubah nasib diri walaupun terpaksa melalui pelbagai halangan dan kesukaran.

“Saya percaya hanya pendidikan mampu membantu saya keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Jika dahulu saya tidak bersekolah kerana tiada kad pengenalan, hari ini saya berdiri di sini sebagai seorang graduan. 

“Inilah sinar yang saya nantikan selama ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen.

Tambahnya lagi, kita tidak perlu mudah mengalah dalam menghadapi cabaran hidup kerana setiap kesukaran pasti akan membawa kepada kejayaan jika disertai dengan usaha dan kesabaran.

“Hargailah peluang belajar yang ada dan sentiasalah bersyukur,” ujarnya lagi.

“Saya pernah berdepan detik getir apabila tidak dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah selepas tamat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) walaupun memperoleh keputusan cemerlang 5A.

“Ketiadaan dokumen yang disebabkan oleh masalah pendaftaran lewat sijil kelahiran dan seterusnya membawa kepada proses kad pengenalan yang rumit menyebabkan saya terpaksa menangguhkan pelajaran dan bekerja sebagai buruh binaan, pembantu pasar serta kelindan lori bagi membantu keluarga,”. 

Namun, usaha dan doa keluarganya tidak sia-sia apabila rayuan ibunya untuk membolehkan beliau bersekolah akhirnya diluluskan. 

“Saya diterima masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Apas, Tawau dan terus ditempatkan di Tingkatan Tiga walaupun hanya tinggal beberapa bulan sebelum Penilaian Menengah Rendah (PMR) dijalankan.

“Saya berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam PMR dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke aliran Sains Tulen di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tambahnya, meskipun memperoleh keputusan SPM yang baik, namun cabaran baharu menanti apabila beliau tidak dapat memohon ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disebabkan status kewarganegaraan.

“Sinar harapan muncul setelah setahun menanti apabila permohonan kewarganegaran saya diluluskan.

“Tidak menunggu lama, saya terus memohon untuk melanjutkan pengajian di peringkat Diploma dan diterima masuk ke Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor. 

Berbekalkan semangat dan keinginan untuk terus maju, Muhamad Yani meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Anak kepada pasangan Juriany William Hamu, 66 dan Yuliana Yunus,52 bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malah turut menyerlah dalam bidang kokurikulum apabila dinobatkan sebagai Kadet Terbaik PALAPES Udara UMPSA dalam Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah PALAPES Universiti Awam  ke-42 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak pada September 2024.

DARI HAMPIR TERCICIR KE MENARA GADING, KADET TERBAIK PALAPES UDARA UMPSA, MUHAMAD YANI BANGKIT GAPAI SINAR KEJAYAAN

Muhamad Yani kini ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).

Anak ketiga daripada empat adik beradik ini turut bergiat aktif dalam kesukarelawanan dan merupakan Alumni Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).

Beliau juga sedang berkhidmat di Mammoet Malaysia Sdn Bhd sebagai Jurutera.

Kisah kejayaan dan inspirasi Muhamad Yani Juriany menjadi simbol kekuatan, kecekalan dan keyakinan bahawa setiap insan mampu mencapai impian sekiranya tidak mudah menyerah kalah. 

Beliau membuktikan bahawa di sebalik setiap kegelapan pasti ada sinar kejayaan bagi mereka yang terus berusaha dan percaya pada kuasa ilmu.

Disediakan oleh : Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim