Skip to main content

Dr. Haji Mohamad Nawawy tamat PhD pada usia 74 tahun, anak sulung jadi pendorong

GAMBANG, 8 November 2025 - Usia bukanlah penghalang untuk terus menimba ilmu dan itulah kisah luar biasa Dr. Haji Mohamad Nawawy Jusoh, 74 tahun yang berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Kejayaan ini menjadi lebih bermakna apabila perjalanan akademiknya turut ditemani anak sulungnya, Dr. Norhidayah Dr. Haji Mohamad Nawawy, 44 yang menamatkan pengajian PhD lebih awal pada tahun 2021. 

Dr. Norhidayah kini seorang Pensyarah Akademik di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato' Razali Ismail, Kuala Terengganu.

Menurut Dr. Haji Mohamad Nawawy, perjalanan ilmu ini bermula pada tahun 2015 apabila kedua-duanya mendaftar sebagai pelajar PhD di UMPSA. 

“Saya hanya berniat untuk menemani anak dan memberi semangat kepadanya. 

“Tidak disangka, niat itu membawa kepada satu perjalanan ilmu yang mengubah seluruh kehidupan saya,” katanya.

Dilahirkan pada 10 Januari 1951 di Pasir Puteh, Kelantan, Dr. Haji Mohamad Nawawy dibesarkan dalam suasana sederhana yang menanamkan nilai kecintaan terhadap ilmu sejak kecil. 

Sejak muda lagi beliau percaya bahawa pendidikan adalah pelaburan terbaik dalam kehidupan dan sentiasa berpegang pada prinsip bahawa ilmu adalah cahaya yang tidak pernah padam. 

Menjalani pengajian pada usia emas bukan perkara mudah. 

“Tenaga dan daya ingatan sudah tidak seperti dulu. 

“Kadang-kadang saya perlu membaca bahan berulang kali untuk memahaminya, namun saya percaya bahawa dengan doa, kesabaran dan disiplin, tiada halangan yang tidak boleh diatasi.

“Saya dengan penuh tertib iaitu bermula seawal pagi dengan ibadah, diikuti masa membaca dan menulis ketika minda masih segar,” ceritanya. 

Beliau menambah, anaknya, Dr. Norhidayah, banyak membantu beliau dari segi bimbingan akademik dan semangat. 
“Kami selalu meluangkan masa bersama dan berkorban apa sahaja demi memenuhi tuntutan menjadi seorang penyelidik yang berjaya. 

“Kadang-kadang kami selalu berbincang tentang teori dan metodologi penyelidikan bersama. 
“Ia menjadikan hubungan kami bukan sekadar antara ayah dan anak, tetapi juga rakan seperjuangan dalam dunia meneroka ilmu penyelidikan,” ujarnya.

Beliau juga memastikan kesihatan dijaga dengan senaman ringan serta menyeimbangkan masa bersama keluarga. 

Sokongan isteri, Hajah Raguan A. Rahman dan anak-anak menjadi tunjang kekuatannya sepanjang pengajian, selain bimbingan penyelia utama, Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan, Dr. Fatmawati Latada yang sentiasa sabar dan memahami keadaan dirinya sebagai pelajar senior.

Antara pengalaman yang paling bermakna sepanjang pengajian ialah apabila beliau diterima baik oleh pelajar muda yang sebaya anak-anaknya. 

“Antara pengalaman lucu ialah apabila saya sering menjadi ‘ayah’ kepada rakan kuliah yang berusia 30 atau 40 tahun lebih muda. 

“Mereka memanggil saya ‘pak cik’ tetapi pada masa yang sama saya menjadi rakan perbincangan mereka. 

“Hubungan itu sangat indah kerana ia membuktikan bahawa ilmu menyatukan generasi,” katanya. 

Dan detik paling berharga apabila beliau akhirnya menghantar tesis akhir setelah bertahun-tahun berusaha tanpa mengenal putus asa.

Bercerita tentang perjalanan akademiknya, beliau bermula di Maktab Perguruan Pendidikan dan Nilai Pemakanan dari tahun 1977 hingga 1979, sebelum menyambung pengajian di Universiti Pendidikan Nasional Bandung, Indonesia dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Psikologi Pendidikan dan Kaunseling pada tahun 1998. 

Tidak berhenti di situ, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Kaunseling di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1998 hingga 2001 dan akhirnya berjaya menamatkan pengajian PhD dalam bidang Sains Kemanusiaan di UMPSA pada tahun 2025.

Kajian beliau bertajuk ‘Faktor Kemahiran Kehidupan, Ketahanan Diri dan Sokongan Sosial terhadap Kesejahteraan Ibu Tunggal’ memberi fokus kepada aspek sosial dan psikologi golongan ibu tunggal. 

Menurut beliau, idea kajian ini tercetus daripada keprihatinannya terhadap cabaran yang dihadapi oleh golongan tersebut yang sering berjuang membina kehidupan baharu selepas kehilangan pasangan. 

“Saya berharap penyelidikan saya ini dapat memberi panduan kepada masyarakat dan institusi dalam memperkukuh kesejahteraan sosial serta emosi ibu tunggal di Malaysia,” katanya. 

Dr. Haji Mohamad Nawawy mempunyai pengalaman luas dalam bidang pendidikan dan kaunseling. 

Beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mahmud Mat pada awal tahun 1980-an sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan dan turut dilantik sebagai kaunselor di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun 1991. 

Beliau kemudiannya menyambung khidmat sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari tahun 1998 hingga 2014, mengajar pelbagai subjek seperti Study Skills and Educational Psychology (Degree Level) serta Science Politic Psychology Counselling and Ethnic Relationship (Degree Level). 

Pada tahun 2014 hingga 2019, beliau berkhidmat di Open University Malaysia (OUM) sebagai pensyarah bagi subjek Study Skills, Educational Sociology, Basic to Psychology (Degree Level).

Selepas itu, beliau dilantik sebagai Pengarah Kolej Pacific Kuantan, Pahang bermula tahun 2019 hingga kini, membuktikan komitmennya terhadap dunia pendidikan walaupun telah bersara daripada perkhidmatan kerajaan.

Selain bergiat aktif dalam bidang akademik, beliau juga dikenali sebagai tokoh masyarakat yang komited dalam aktiviti kemasyarakatan. 

Kini setelah bergelar Dr., beliau berhasrat untuk terus berkongsi ilmu dan pengalaman melalui penulisan, ceramah serta aktiviti kemasyarakatan. 

Beliau menasihati masyarakat agar tidak menjadikan usia atau kesibukan sebagai alasan untuk berhenti menuntut ilmu.

“Saya mahu ilmu ini terus hidup, bukan hanya di atas kertas tesis, tetapi dimanfaatkan untuk memperkukuh kesejahteraan masyarakat.

“Selagi bernafas, selagi itu kita belajar.

“Ilmu bukan milik orang muda sahaja. 

“Setiap hari adalah peluang untuk belajar dan menjadi insan yang lebih baik,” pesannya. 

Kisah dua generasi ini iaitu ayah dan anak yang menjejaki menara ilmu bersama, bukan sekadar kisah kejayaan akademik, tetapi simbol ketabahan, kasih sayang keluarga dan keindahan semangat menuntut ilmu sepanjang hayat.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri