Fatini anak Polis Bantuan aktif dalam aktiviti kesukarelawanan terima Anugerah Pelajaran Diraja
GAMBANG, 26 Oktober 2024 – Sejak di bangku sekolah lagi, penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19, Fatini Nasuha Ahmad Puad, 23 memang sudah meminati aktiviti sukarelawan, namun tidak menemui platform yang sesuai untuk merealisasikan hasrat tersebut.
Anak kepada Polis Bantuan, Ahmad Puad Mohd Isa, 60, dan Mulyani Munir, 58, seorang suri rumah itu sentiasa menjadikan kedua ibu bapanya sebagai sumber inspirasi dan pendorong agar beliau terus berusaha gigih dalam semua aspek yang diceburi.
Menerima tawaran ke UMPSA dan menjadi salah seorang penerima insentif kecemerlangan Yayasan UMPSA, seakan-akan memberi laluan apabila beliau mengetahui Yayasan UMPSA bukan sahaja berfokus kepada kebajikan pelajar, malah program kemasyarakatan.
Katanya, setelah menyertai program kesukarelawanan yang dianjurkan Yayasan UMPSA, beliau berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada skuad aktif yang memberikan impak positif kepada masyarakat.
“Saya juga telah dilantik sebagai presiden PEKA 3 yang membolehkan saya memimpin dan mendorong rakan-rakan untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti kemanusiaan.
“Salah satu pengalaman yang paling berharga adalah penyertaan saya dalam pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk program kelestarian, pendidikan dan misi bantuan pasca banjir yang melibatkan pengagihan bantuan kepada mangsa.
“Melalui program-program ini, saya bukan sahaja dapat melihat kesan langsung daripada bantuan yang diberikan, tetapi juga merasai kepuasan yang mendalam apabila dapat menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat,” kata anak bongsu tiga beradik yang berasal dari Selangor ini.
Tidak seperti gadis seusianya yang menjadikan artis sebagai idola, beliau melihat Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj adalah sebagai seorang tokoh yang harus dikagumi dan dicontohi serta berpeluang melihat sendiri Tengku Ampuan dalam program Kembara Kenali Borneo.
Penerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) itu bukan sahaja aktif dalam aktiviti luar kelas, malah pandai mengimbangkan masanya apabila memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.88.
Sepanjang berada di UMPSA, beliau berjaya memperoleh Anugerah Prestasi Akademik Terbaik dan Anugerah Kokurikulum Terbaik di Majlis Apresiasi Yayasan UMPSA 2022, Anugerah Khas Program Kembara Prihatin@Negeri di Bawah Bayu 2.0, Anugerah Penyelidikan dan Inovasi di Majlis Apresiasi Yayasan UMPSA 2023. Lain-lain adalah Anugerah Residen Pelajar Terbaik dua tahun berturut-turut dan Tokoh Mahasiswa Harapan dalam Majlis Anugerah Mercu Sanjungan (MARS) 2023 pada 18 Mei 2024 di Hotel Zenith, Kuantan.
Beliau juga pernah memperoleh pingat emas dalam Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (CITREX) 2024, naib johan Pertandingan Poster ISPE 2024 Peringkat Kebangsaan dan johan Pertandingan Poster ISPE 2024 Peringkat UMPSA.
Tambahnya, keberanian dan dedikasi beliau dalam sukarelawan telah membuka peluang yang lebih besar termasuklah bertanggungjawab mengurus projek berimpak seperti menguruskan program mobiliti antarabangsa di Ho Chi Minh: To Give Them Hope anjuran PEKA 3 pada tahun 2023 pada bulan Ogos 2024.
“Saya juga telah diberi amanah untuk mengetuai program Kembara Prihatin di Belaga, Sarawak bagi menyantuni masyarakat minoriti etnik Ukit.
“Program ini bertujuan untuk memberi sokongan kepada komuniti yang kurang mendapat perhatian dan saya berbesar hati dapat membantu mereka dalam memperbaiki keadaan hidup mereka.
“Terkini, saya terlibat dalam program mobiliti antarabangsa di Bumi Kashmir, India dan kami telah bekerjasama untuk membaik pulih jambatan yang menjadi laluan utama bagi penduduk di Kampung Bhat,” katanya.
Melalui inisiatif itu katanya, beliau menyaksikan sendiri cabaran yang dihadapi oleh masyarakat tempatan dan bagaimana untuk membantu meningkatkan aksesibiliti mereka.
“Pengalaman ini bukan sahaja memperkayakan pengetahuan saya tentang kepelbagaian budaya, tetapi juga mengukuhkan semangat saya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat, tanpa mengira sempadan.
“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pensyarah dan rakan-rakan yang menyokong serta membimbing saya selama ini.
“Saya akan sentiasa mendoakan agar mereka semua sentiasa diberikan kebaikan dalam apa jua keadaan.
“Sepanjang pengajian di UMPSA, saya turut melalui pengalaman pahit seperti menghadapi kegagalan, tekanan dalam mengurus masa antara pelajaran dan aktiviti luar, serta cabaran dalam menyelesaikan projek yang rumit,” jelasnya.
Meskipun begitu, setiap cabaran tersebut menjadi pelajaran yang amat berharga baginya kerana ia mengajar erti ketabahan, pengurusan masa, dan kecekalan dalam menghadapi rintangan.
Tambah Fatini lagi, gabungan detik pahit dan manis ini menjadi asas kepada pembentukan diri yang lebih matang dan bersedia menghadapi dunia sebenar selepas tamat pengajian.
“Sebagai bakal alumni, saya komited untuk terus menyumbang kepada kemajuan UMPSA dan bersedia untuk menyokong aktiviti-aktiviti alumni, selain berperanan sebagai duta universiti bagi menggalakkan lebih ramai pelajar dan pihak industri untuk berkolaborasi dengan universiti.
“Selain itu, saya berharap dapat menyumbang dalam bentuk pengetahuan, pengalaman dan jaringan industri yang saya miliki bagi memperkukuhkan lagi kedudukan UMPSA dalam arena pendidikan tinggi.
“Malah, saya turut berazam untuk terlibat dalam program-program kemasyarakatan dan pembangunan universiti agar hubungan alumni dan alma mater terus erat serta memberi impak positif kepada generasi seterusnya,” ujarnya.
Beliau berharap agar UMPSA terus maju dan menjadi pusat kecemerlangan ilmu yang lebih gemilang, terus mengorak langkah ke hadapan dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan akademik, seterusnya melahirkan lebih ramai graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga mempunyai sahsiah diri yang hebat serta berdaya saing pada peringkat global.
Dengan memperkasakan teknologi dan meningkatkan kerjasama industri, beliau yakin UMPSA mampu menjadi universiti terkemuka yang disegani pada peringkat antarabangsa.
Beliau turut menitipkan nasihat kepada pelajar UMPSA supaya terus memanfaatkan secara positif ruang dan peluang yang disediakan oleh universiti dengan membawa hasrat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam melahirkan mahasiswa yang mempunyai kemahiran akademik yang tinggi, sahsiah diri cemerlang serta memiliki ciri-ciri personaliti unggul dan bersifat holistik.
Katanya, jadilah benih yang baik, dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi gunung dan dicampak ke langit menjadi awan.
“Apabila kita semakin dewasa, kita akan mendapati bahawa kita cuma mempunyai dua tangan, satu untuk membantu diri sendiri, satu lagi untuk membantu orang lain.
“Melalui setiap langkah yang saya ambil dalam bidang kesukarelawanan, saya semakin menyedari bahawa setiap usaha, sekecil manapun, mampu memberi impak yang besar kepada kehidupan orang lain.
“Oleh itu, saya bertekad untuk meneruskan perjalanan ini dan mengajak lebih ramai individu untuk bersama-sama menjayakan misi kemanusiaan demi kebaikan masyarakat,” ujarnya yang kini merancang untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD),” katanya.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 80 views