Graduan UMPSA perlu miliki pemikiran global – Pesan Pro-Canselor, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari
GAMBANG, 27 Oktober 2024 – Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Tan Sri Dato Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari menitipkan pesanan kepada para graduan, agar perlu menjadi individu holistik dan mahir dalam bidang yang diceburi, beretika, dan memiliki pemikiran global.
“Nilai-nilai seperti integriti, tanggungjawab sosial, dan kemahiran insaniah perlu diterapkan dalam setiap langkah yang diambil agar kejayaan yang dicapai memberi makna kepada masyarakat.
“Jadikanlah pencapaian akademik dan profesional sebagai alat untuk memberi manfaat kepada orang lain, seiring dengan tuntutan duniawi dan ukhrawi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Ketiga, Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.
Pada majlis tersebut, beliau telah menyampaikan penganugerahan Ijazah Sarjana Muda dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Pusat Sains Matematik (PSM) dan Fakulti Komputeran (FK) yang melibatkan seramai 994 graduan termasuk 28 orang graduan bagi penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan.
Menurutnya, UMPSA komited bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam memacu kegemilangan melalui jalinan akademik dan aspek inovasi.
“UMPSA sebagai salah sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) terbaik negara, memperlihatkan perkembangan kepelbagaian aspek yang berlaku dengan pantas seiring dengan universiti tempatan yang lain dan antarabangsa termasuklah menerusi jalinan kolaborasi.
“Kerjasama strategik seperti dengan Mercedes-Benz adalah langkah berimpak tinggi untuk meningkatkan kemahiran graduan.
“Melalui pendedahan di syarikat antarabangsa, para pelajar dapat memperkaya kemahiran insaniah dan teknikal selaras dengan tuntutan industri.
“UMPSA komited kepada komuniti melalui pelbagai program seperti Inisiatif Profesor Turun Padang dan Sukarelawan Kilau iaitu inisiatif yang memperkasa masyarakat dengan ilmu dan kepakaran,” ujarnya.
Katanya lagi, program ini bukan sahaja menjadikan universiti sebagai pusat kecemerlangan ilmu tetapi juga agen perubahan sosial.
Turut hadir Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 54 views