Hasya Najihah terima Anugerah Kecemerlangan Akademik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP)
GAMBANG, 26 Oktober 2024 - Hasya Najihah Mohd Ghazali, 21, yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.23 tidak menyangka menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang disampaikan Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari bagi sesi kedua dalam Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19.
Kini, Hasya sedang melanjutkan pelajaran di UMPSA dalam program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian di Tahun 1, Semester 2.
Sebagai anak sulung daripada empat orang adik-beradik, beliau yang dilahirkan di Pusat Pakar Tawakal Kuala Lumpur dan dibesarkan di Kuantan, Pahang ini mengutamakan keseimbangan antara akademik dan masa berkualiti bersama keluarga serta rakan-rakan, terutamanya di hujung minggu.
Ibu beliau, Hazareena Saadiah Mustazar, 44, berkhidmat sebagai Penyelia Operasi di Alam Flora Sdn. Bhd., manakala ayahnya, Mohd Ghazali Masood, 60, merupakan seorang pesara.
Katanya, walaupun kurang aktif dalam persatuan dan sukan semasa diploma akibat jadual kelas yang padat, saya tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertai beberapa aktiviti kokurikulum yang menarik.
“Antara aktiviti yang saya sertai termasuklah memanah, sukan golf, seni kreatif, dan juga fotografi.
“Dalam acara memanah, saya berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan antara pasukan, sekali gus mencatat markah tinggi dalam kokurikulum tersebut.
“Selain itu juga, saya mengambil inisiatif dengan menjadi ketua kumpulan dalam projek berasaskan kerja dan pelbagai kerja berkumpulan bagi beberapa subjek,” ujarnya.
Katanya, pengalaman ini membuktikan bahawa walaupun dengan jadual yang padat, pelajar masih boleh menyumbang dan meraih kejayaan dalam aktiviti kokurikulum di UMPSA.
“UMPSA juga terus komited dalam menyediakan pelbagai kemudahan yang menyokong pembelajaran serta perkembangan pelajarnya antaranya dengan menyediakan perpustakaan yang lengkap, makmal canggih, serta kemudahan sukan yang berkualiti.
“Pendekatan pembelajaran di UMPSA juga bersifat interaktif dan berpusatkan pelajar, di mana kurikulum yang relevan digabungkan dengan penggunaan teknologi terkini.
“Ini semua bertujuan untuk memperkaya pengalaman pembelajaran dan menjadikan proses pembelajaran lebih menarik serta berkesan,” katanya.
Jelasnya lagi, tenaga pengajar di UMPSA terdiri daripada individu yang berpengalaman dan berdedikasi malah mereka tidak hanya mengajar, tetapi juga berperanan sebagai pembimbing dalam penyelidikan dan pembangunan diri pelajar.
“Ini membantu saya memupuk nilai-nilai murni seperti kerjasama, kejujuran, dan tanggungjawab.
“Secara keseluruhan, UMPSA menyediakan persekitaran yang kondusif bagi pembelajaran dan perkembangan pelajar, menekankan pentingnya nilai-nilai etika dan integriti dalam membentuk individu yang berkualiti, kata beliau lagi.
“Malah, UMPSA juga komited untuk melahirkan graduan berdaya saing melalui pembelajaran dan kokurikulum yang unik,” katanya penuh semangat.
Di samping itu juga katanya, pendekatan pembelajaran berasaskan projek membolehkan pelajar mengaplikasikan teori dalam situasi sebenar, mengasah kemahiran disiplin dan kerja berpasukan, serta meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah.
“Universiti ini juga turut menekankan pembangunan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, etika, dan keusahawanan, yang penting untuk kejayaan kerjaya.
“Dengan nilai-nilai ini, graduan UMPSA bukan sahaja cemerlang secara akademik, tetapi juga memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat, mempersiapkan pelajar untuk menghadapi cabaran pasaran kerja.
“Antara pengalaman tidak akan dilupakan dan saya menganggap pengalaman ini sebagai kejayaan yang telah memberikan banyak pengetahuan serta kemahiran praktikal khususnya dalam bidang Kejuruteraan Awam,” katanya.
Menurut Hasya Najihah, antara pengalaman paling berharga adalah ketika mengikuti subjek Engineering Laboratory 2: Materials and Structural.
“Dalam projek ini, saya dan ahli kumpulan telah membina struktur keluli, di mana beliau diiktiraf sebagai ahli terbaik oleh Pensyarah Ir. Dr. Nor Ashikin Muhamad Khairusaleh.
“Selain itu, saya juga mengambil bahagian dalam subjek Engineering Surveying Fieldwork, di mana saya melakukan pengukuran di kawasan sekitar UMPSA.
“Saya mempraktikkan cara memasang Theodolite dan diuji oleh Pensyarah Gs. Dr. Syarifuddin Misbari untuk melaksanakan tugas tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.
Kedua-dua pengalaman ini bukan sahaja menambahkan ilmu pengetahuan buat dirinya tetapi juga menjadi kenangan manis yang akan dibawa hingga ke masa hadapan.
Hasya sentiasa berpegang kepada prinsip kemandirian, ketulusan, keseimbangan, kepedulian, dan kesungguhan dalam kehidupan seharian.
Ujarnya, prinsip-prinsip ini membimbing dirinya untuk menjadi individu yang bertanggungjawab dan beretika, sekali gus mencorakkan masa depan dengan penuh keyakinan.
“Sebagai seorang pelajar, anak dan umat Islam, harapan dan hasrat saya ialah untuk terus bertekad memperbaiki diri dalam semua aspek untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran serta memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan keluarga,” jelas beliau.
Disediakan Oleh: Hafizatulazlin Abdul Aziz, Pusat Komunikasi Korporat
- 184 views