Hilang tempat bergantung, Muhammad Syafiq Aiman nekad genggam segulung ijazah
GAMBANG, 26 Oktober 2024 – Tidak pernah menduga akan kehilangan sosok penting seawal usia 13 tahun dalam hidupnya, Muhammad Syafiq Aiman Suhirman nekad untuk mengubah kehidupannya sekeluarga.
Anak kelima daripada lapan orang adik-beradik ini meneruskan pengajian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan menceburi bidang perniagaan.
Katanya, beliau bukan berasal daripada keluarga yang senang.
“Adik-beradik dan bapa saudara yang banyak membantu saya selama ini.
“Dari situ, saya sedar saya kena lakukan sesuatu.
“Sewaktu di tahun tiga pengajian, saya mula berjinak-jinak dalam perniagaan dengan menjadi ejen untuk penjualan baju UMPSA,” ujarnya.
Tambahnya lagi, semua orang boleh berusaha untuk mencari duit sendiri dan jalan untuk bertahan meskipun dari golongan yang susah.
“Bertitik-tolak daripada itu, saya mula mencabar diri dengan menjual nasi ayam gepuk di Amphitheather UMPSA Kampus Gambang.
“Saya turut memperoleh dana dari Pusat Usahawan Kreatif sebanyak RM3000,00.
“Meskipun sibuk menguruskan perniagaan, saya juga turut aktif dalam aktiviti kokurikulum,” tambah graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian ini lagi.
Beliau juga merupakan salah seorang ahli PEKA2 bagi sesi 2022/2023.
Anak kelahiran Terengganu ini menzahirkan rasa syukur kerana berkat perniagaannya, dia dapat menampung kos sara hidupnya sepanjang pengajian.
Muhammad Syafiq Aiman kini berkhidmat sebagai Protégé di Roadcare (M) Sdn. Bhd. bermula 1 Oktober 2024.
Beliau juga turut membuka reruai di Ekspokonvokesyen UMPSA.
Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat
- 133 views