Impian jadi nyata, Norfatihah Mazuki raih Hadiah Penyelidikan Pascasiswazah
GAMBANG, 26 Oktober 2024 - Bukan berasal dalam kalangan keluarga yang senang telah membakar semangat dan motivasi buat Norfatihah Mazuki, 29 untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Beliau menyimpan impian itu semenjak menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana untuk meraih anugerah pada hari konvokesyen, namun ternyata rezeki masih belum memihak buatnya.
Tidak meletakkan nokhtah atau pengakhiran pada setiap perjuangan, akhirnya membuahkan hasil setelah segala penat lelah beliau akhirnya terbayar apabila terpilih menerima Hadiah Penyelidikan Pascasiswazah di Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 yang disampaikan oleh Pro-Canselor, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Katanya, kejayaan ini adalah penutup yang paling saya tidak dapat lupakan dan akan menjadi kenangan yang paling bermakna sepanjang saya bergelar pelajar.
“Pada Februari 2018, saya menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang Advanced Materials di UMPSA dan berjaya menamatkan pengajian pada November 2020 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Sains.
“Seterusnya, saya melanjutkan pengajian ke peringkat Ph.D pada Disember 2020 dalam bidang Physical Sciences juga di UMPSA dan berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2024,” ujarnya.
Norfatihah adalah anak kedua kepada pasangan Mazuki Mohamed, 64 dan Haslina Mohd Nor, 58 itu turut bercita-cita untuk membawa kedua ibubapanya merantau ke luar.
“Ibu bapa saya kedua-duanya berasal dan menetap di Terengganu dan tidak pernah tinggal di luar Terengganu.
“Oleh itu, mereka kurang terdedah kepada budaya dan makanan negeri lain dan ini menjadi pendorong buat saya untuk mengubah nasib keluarga ke arah kehidupan yang lebih baik,” ujarnya.
Beliau juga turut menyatakan harapan agar dapat melihat anak-anak muda pada zaman sekarang untuk lebih rajin menuntut ilmu dan tidak mengambil remeh soal pelajaran.
Katanya, jika diberi peluang untuk melanjutkan pengajian, jangan sia-siakan peluang tersebut kerana tidak semua orang bernasib baik untuk mendapat peluang ini.
“Menyambung pelajaran bukan hanya untuk mendapatkan pekerjaan yang baik, tetapi juga untuk meluaskan pemikiran agar setiap tindakan yang diambil mencerminkan seseorang yang berpendidikan dan berwawasan,” ujarnya.
Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu turut bergiat aktif dalam kokurikulum dengan menyertai beberapa program di bawah kelab Renaissance of Science Educators (ROSE), termasuk Saintis Turun ke Desa, Kem Saintis Muda, Rekreasi Matematik dan ‘Lighting Up the Community’ serta program penyelidikan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Norfatihah Mazuki kini sedang menjalani fasa postdoctoral di Universitas Negeri Malang, Indonesia selama lima bulan dan dijangka tamat pada penghujug Oktober 2024.
Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat
- 221 views