Skip to main content

Keazaman dan dedikasi bawa Muhamad Ibrahim raih Anugerah Kecemerlangan Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal)

GAMBANG, 8 November 2025 – Keazaman dan minat mendalam terhadap bidang farmaseutikal mendorong Muhamad Ibrahim Abdul Malek, 23, menamatkan pengajian dengan cemerlang dalam Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) dengan Kepujian di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Atas kejayaan tersebut, beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) pada Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20. 

Anak bongsu daripada lima orang adik-beradik ini yang berasal dari Pasir Gudang, Johor, merupakan contoh pelajar yang menyerlah dalam bidang akademik serta aktif dalam pelbagai aktiviti universiti. 

Sepanjang pengajian, beliau berjaya mengekalkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.75 dan memperoleh Anugerah Dekan bagi setiap semester.

Antara pencapaian membanggakan beliau ialah apabila projek penyelidikannya bertajuk ‘Safe Nanobots for Accurate Cancer Combats’ meraih pingat emas di CITREX 2025, sekali gus membuktikan kemampuan beliau sebagai penyelidik muda yang berpotensi besar dalam bidang Inovasi Kesihatan.

Beliau turut aktif dalam pelbagai program universiti termasuk ISPE Student Chapter UMPSA, Program CSR Celik Sains Bebas Dadah, serta Program Mobiliti ISPE bersama Universiti Chulalongkorn, Thailand.

Menurut Muhamad Ibrahim, kejayaan yang diraih hari ini adalah hasil doa dan sokongan berterusan daripada kedua ibu bapanya serta bimbingan para pensyarah.

“Saya percaya kejayaan tidak datang dengan mudah. 

“Ia memerlukan usaha berterusan, disiplin dan keikhlasan. 

“Yang paling penting, jangan lupa restu dan doa ibu bapa kerana itu sumber kekuatan sebenar,” ujarnya.

Beliau kini berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kedoktoran (Fast-Track PhD) di UMPSA pada Februari 2026 dengan impian untuk menjadi penyelidik dalam bidang farmaseutikal dan bioteknologi yang mampu menyumbang kepada pembangunan teknologi kesihatan di Malaysia.

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim