Skip to main content

Kecekalan ibu tunggal menuntut ilmu, Nurfarhana raih Master Eksekutif di Konvokesyen UMPSA Ke-20

GAMBANG, 10 November 2025 – Kisah kejayaan Nurfarhana Tampong, 36 tahun, menjadi inspirasi kepada masyarakat apabila beliau berjaya menamatkan pengajian dan diraikan dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-20 hari ini.

Sebagai seorang ibu tunggal kepada seorang anak perempuan dan pada masa yang sama menjaga kakaknya yang menghidap penyakit kanser, Nurfarhana membuktikan bahawa cabaran hidup bukanlah halangan untuk mencapai kejayaan.

Beliau yang merupakan graduan Master Eksekutif Pengurusan Korporat daripada UMPSA Advanced itu kini, merupakan seorang kontraktor berjaya dan pemilik syarikat bumiputera bertaraf G7 yang aktif melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara. 

Dalam kesibukan mengurus syarikat dan keluarga, beliau tetap berusaha menamatkan pengajian demi menambah ilmu dan membina masa depan yang lebih baik untuk diri serta anaknya.

Katanya, setiap kejayaan memerlukan pengorbanan. 

“Saya mahu anak saya tahu bahawa walau apa pun cabaran, kita tidak boleh berhenti berusaha,” ujar Nurfarhana yang menjadi ibu tunggal selama lapan tahun.

Manisnya perjalanan di akhirnya, perjuangan beliau turut dihiasi dengan berita gembira apabila bertemu jodoh sebulan sebelum konvokesyen, satu anugerah yang melengkapi perjalanan hidupnya sebagai wanita cekal dan tabah.

Kecekalan ibu tunggal menuntut ilmu, Nurfarhana raih Master Eksekutif di Konvokesyen UMPSA Ke-20

Nurfarhana berharap pencapaiannya dapat menjadi suntikan semangat kepada wanita lain, khususnya ibu tunggal, untuk terus berjuang mencapai impian tanpa mengenal erti penat dan menyerah.

Kisah beliau menyerlahkan semangat ketabahan, keusahawanan dan kasih keluarga yang seharusnya dijadikan teladan kepada seluruh warga UMPSA dan masyarakat.

Disediakan Oleh: Noraini Yusoff, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim