Keprihatinan bawa tuah, Fathiah Najibah ungguli Anugerah Prihatin Komuniti PUSPANITA
GAMBANG, 8 November 2025 - Keprihatinan terhadap masyarakat dan semangat kesukarelawanan yang tinggi membuahkan hasil apabila pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Fathiah Najibah Mohd Hamka, dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Prihatin Komuniti PUSPANITA bersempena dengan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-20.
Berusia 21 tahun dan berasal dari Kuantan, Pahang, Fathiah Najibah merupakan graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian yang aktif dalam pelbagai program kesukarelawanan dan kepimpinan pelajar sepanjang pengajian.
Beliau pernah memegang jawatan sebagai Exco Program Larian dan Sambutan Malam Kemerdekaan, fasilitator Karnival STEM Peringkat Daerah Pekan, serta Pengarah Projek Lawatan Sambil Belajar Sensor Technology ke GS Paperboard & Packaging Sdn. Bhd.
Menurutnya, pengiktirafan ini menjadi simbol penghargaan kepada usaha kecil yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saya percaya bahawa setiap tindakan kecil yang dilakukan dengan ikhlas mampu membawa perubahan besar kepada komuniti.
“Anugerah ini memberi inspirasi kepada saya untuk terus berbakti dan menjadi insan yang memberi nilai kepada orang lain.
“Saya berterima kasih kepada UMPSA kerana menyediakan platform terbaik untuk pelajar menggabungkan ilmu teori dan praktikal, sekali gus membentuk diri menjadi graduan yang berdaya saing,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapanya, pensyarah dan rakan-rakan yang menjadi sumber kekuatan serta motivasi sepanjang menempuh cabaran di universiti.
Fathiah turut berkongsi bahawa prinsip hidupnya iaitu ‘usaha tanpa jemu, doa tanpa putus’ menjadi pegangan dalam setiap langkah perjalanan akademik dan kehidupan.
Sepanjang pengajian, beliau turut mencatat kejayaan akademik cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.68, serta pernah memenangi tempat keempat dalam Best Project Awards STEP 2024 menerusi projek tahun akhir bertajuk ‘Automatic Watering and Lighting System for Healthy Crops’.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 23 views