Laluan Vokasional bawa Aiman raih Anugerah Kecemerlangan Telekom Malaysia
GAMBANG, 9 November 2025 - Perjalanan kejayaan Muhammad Aiman Mohd Nahseri, 25, membuktikan bahawa laluan pendidikan vokasional juga mampu melahirkan graduan cemerlang dan berdaya saing.
Anak kelahiran Hospital Kuala Lumpur ini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Telekom Malaysia Berhad bersempena dengan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-20.
Sebelum menjejakkan kaki ke UMPSA, Aiman merupakan bekas pelajar Kolej Vokasional Sungai Buloh (KVSB) dari tahun 2016 hingga 2020, di mana beliau memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 4 (SKM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dalam bidang Teknologi Elektrik.
Latar belakang vokasional ini menjadi asas kukuh kepada kejayaannya dalam pengajian peringkat ijazah.
Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di UMPSA dalam program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik dengan Kepujian dan berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Terkumpul (PNGK) 3.90, sekali gus muncul antara graduan terbaik tahun ini.
Katanya, laluan vokasional memberi saya banyak kelebihan dari segi kemahiran teknikal dan kefahaman praktikal.
“Apabila masuk ke universiti, saya sudah biasa dengan peralatan dan amali, jadi lebih mudah untuk mengikuti pembelajaran,” jelas Aiman yang kini bekerja sebagai Pembantu Jurutera di Kejuruteraan Ezet Niaga Sdn. Bhd.
Sepanjang pengajian, beliau aktif menyertai aktiviti pelajar seperti program Neon Run 2.0 dan kelab badminton, selain terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan.
Aiman turut mengakui bahawa pendekatan pembelajaran berasaskan projek dan industri di UMPSA banyak membantu meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri.
Ujarnya, prinsip hidupnya mudah iaitu sentiasa berfikiran positif walaupun dipandang rendah dan saya percaya usaha serta doa keluarga adalah kunci utama kejayaan.
Aiman yang merupakan anak ketiga daripada lima orang adik-beradik dan dibesarkan di Shah Alam, Selangor, menyifatkan penganugerahan ini sebagai hadiah istimewa buat ibu bapanya, Mohd Nahseri Abd Shukor, 60, dan Izwati Ibrahim, 55, yang sentiasa menjadi sumber inspirasi dan kekuatan.
“Saya ingin buktikan bahawa pelajar vokasional juga mampu melangkah jauh,” tambahnya.
Beliau berhasrat untuk terus menimba ilmu dan kemahiran, serta menyumbang kepakaran dalam bidang penyelenggaraan sistem elektrik kepada masyarakat dan negara.
Disediakan Oleh: Hafizatulazlin Abdul Aziz, Pusat Komunikasi Korporat
- 259 views