Lee Jen Sen hasilkan projek Pembangunan Sistem Pengesanan Kelajuan Berlebihan raih Anugerah Emas UMPSA
GAMBANG, 25 Oktober 2024 – Kerja keras dan berusaha bersungguh-sungguh, itulah petua yang diamalkan oleh Lee Jen Sen, 21, untuk meraih kejayaan di dalam pengajiannya.
Buktinya, beliau sering meraih Anugerah Dekan setiap semester yang melayakkan beliau menjadi penerima Anugerah Emas Universiti pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19.
Lee yang merupakan graduan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik merangkul Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.91 percaya bahawa usaha yang bersungguh-sungguh dan tekun dalam melakukan sesuatu perkara adalah kunci kepada kejayaan cemerlang.
Anak sulung daripada dua orang adik-beradik ini menjadikan kedua ibu bapanya sebagai penguat semangat tatkala beliau berhadapan dengan masalah ketika pengajiannya di UMPSA.
Katanya, kedua ibu bapa tercinta, Lee Sang Fook, 54, dan Yap Chooi Mei, 53, sering memberikan motivasi dan berkomunikasi dengannya apabila beliau berasa kecewa dan berputus asa.
“Kata-kata mereka memberikan perangsang kepada saya dan mengingatkan saya untuk mencapai kejayaan yang belum dikecapi,” ujarnya.
Lee yang kini menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di UMPSA berkata, pengalaman dan pengetahuan yang ditimba ketika program diploma banyak memberi pendedahan baharu kepadanya.
Tambahnya lagi, projek akhir tahun yang bertajuk ‘Pembangunan Sistem Pengesanan Kelajuan Berlebihan’ berjaya dihasilkan dengan bantuan pensyarah dan rakan sekuliah.
“Projek ini banyak memberi pendedahan yang mendalam tentang ilmu Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik serta kemahiran penyelesaian masalah turut dapat diadaptasi.
“Ia banyak mengajar saya tentang kepentingan penyelidikan dan pengaplikasian teori dalam situasi praktikal.
“Walaupun di peringkat diploma, saya telah didedahkan dengan ilmu yang sebegitu terperinci.
“Itulah antara sebab mengapa saya tetap memilih UMPSA sebagai universiti pilihan ketika ingin melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda,” katanya.
Sebagaimana pelajar lain, beliau juga berhasrat untuk menyumbang pengetahuan dan jasanya kepada masyarakat supaya dapat membangunkan dan memesatkan lagi industri elektrik dan elektronik di negara ini.
Disediakan Oleh: Shalfarina Shahriman, Penerbit UMPSA
- 85 views