Muhammad Akmal Arif terima Anugerah Kecemerlangan UMW Holdings Bhd.
GAMBANG, 21 Oktober 2023 – Muhammad Akmal Arif, 25, anak sulung daripada empat orang adik-beradik yang berasal dari Selangor itu menerima Anugerah Kecemerlangan UMW Holdings Bhd pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al -Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-18 baru-baru ini.
Setelah tamat tempoh WBL bersama Move Robotic Sdn. Bhd. selama setahun, beliau telah diserapkan sebagai Design Engineer.
Katanya, antara kemahiran yang beliau belajar ialah perhubungan awam, menguruskan pasukan dalam satu satu masa apabila mempunyai beberapa projek dan kemahiran reka bentuk dari segi, konsep, mekanikal dan fabrication.
“Selain itu saya juga merupakan Authorized Dealer Public Gold cawangan Bangi, dan mengusahakan perniagaan buah-buahan tempatan secara kecil kecilan bersama keluarga.
“Kini, saya sedang mengorak langkah dalam mempersiapkan perniagaan sendiri di masa akan datang dalam bidang pertanian dan pelbagai bidang yang bakal diceburi nanti.
“Pembakar semangat saya yang utama sehingga berjaya tidak lain dan tidak bukan adalah kedua ibu bapa Ahmad Takim Saring, 59, Pegawai Sains di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Rogayah Mat Rosely, 53, bekerja di salah sebuah syarikat guaman di Selangor,” katanya.
Hobi beliau di masa lapang adalah dengan membuat networking dan berjumpa dengan orang yang baharu dalam hidupnya.
“Kebanyakkan mereka lebih berusia kerana mereka mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luar biasa yang dapat saya gunakan dalam karier bagi mengejar impian saya.
“Selain itu hobi saya juga ialah berkebun dan membaca buku yang berkaitan dengan motivasi dan perniagaan.
“Kemudahan yang terdapat di UMPSA sangat lengkap seperti bangunan akademik, perpustakaan, kolej kediaman, bilik kuliah, dan kemudahan sukan yang banyak membantu saya dalam memudakan proses belajar sebagai seorang pelajar di UMPSA.
“Selain itu, proses pembelajaran yang sangat selesa dan tenaga pengajar yang sangat membantu dalam setiap subjek yang diajarkan di UMPSA,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, nilai unik dalam pendekatan pembelajaran bagi program yang saya ikuti di UMPSA sangat menarik kerana merangkumi pelbagai aspek yang sangat dekat dengan nilai yang diperlukan oleh industri seperti pemahaman mendalam tentang retrofit design khusus dalam automotif industri.
“Justeru, kita akan berada dalam keadaan bersedia untuk bekerja dalam industri setelah didedahkan dengan teknologi terkini yang banyak digunakan dalam industri.
“Selain aspek teori, program yang saya ikuti juga memberi penekanan kepada kemahiran amali seperti menggunakan software design yang pelbagai untuk mendedahkan kepada para pelajar supaya dapat digunakan pada subjek seperti automotive modelling, surface design, interior design and exterior design.
“Secara keseluruhannya, program Teknologi Automotif menawarkan pendekatan yang unik dengan tumpuan pada industri automotif yang berubah dan berkembang,” katanya.
Katanya, menerima Anugerah Dekan pada setiap semester sepanjang pengajian adalah antara kejayaan yang beliau tidak akan lupakan.
“Kenangan yang terpahat di hati sewaktu saya bergelar mahasiswa UMPSA ialah, apabila pasukan UMP Racing di bawah event Shell Eco Marathon 2019 kami berjaya mendapatkan penaja daripada Perodua sebanyak RM 30,000 setelah kami membentangkang mengenai matlamat kami untuk program tersebut.
“Ini adalah kerana waktu itu merupakan waktu yang getir untuk mencari penaja bagi pasukan kami untuk bertanding bagi melayakkan kami ke peringkat Asia bagi mewakili Malaysia.
“Namun setelah kami berjaya mendapatkan penajaan itu, COVID-19 pula melanda yang mengakibatkan program itu perlu ditangguhkan.
“Namun begitu, program itu memberi saya seribu satu kenangan yang tidak dapat dilupakan kerana banyak yang saya belajar semasa menguruskan pasukan UMP Racing ketika itu yang dapat saya gunakan di dalam kerjaya saya pada masa kini,” katanya.
Beliau turut berharap agar UMPSA menjadi pemain utama dalam penyelidikan teknologi di peringkat tertinggi.
“Ini termasuk mendorong penyelidikan dalam bidang-bidang seperti Kecerdasan Buatan, Robotik, Sains Data, Teknologi Hijau dan Teknologi Kejuruteraan.
“Hasrat saya ialah ingin melihat UMPSA berkolaborasi dengan industri dan agensi penyelidikan untuk membantu Malaysia menjadi sebuah negera yang berdaya saing di peringkat global.
“Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan pensyarah yang tidak jemu-jemu dalam mendidik dan memberi pendedahan yang sangat berguna ketika di alam industri,” katanya.
Katanya, khusus buat penyelia projek akhir dan latihan industri saya Ts. Dr. Mohamad Zairi Baharom yang banyak membentuk jati diri saya untuk menjadi seorang Design Engineer yang mempunyai minda yang sangat luar biasa dalam pelbagai bidang.
"Seterusnya sekalung penghargaan buat Penasihat Akademik, Dr. Mohamad Heerwan Peeie yang memberi banyak peluang kepada saya untuk dalam menceburi diri program Bachelor of Technology in Automotive untuk mengenal pasti minat saya sebelum masuk ke dalam industri.
“Akhir sekali ialah faktor yang paling utama dengan izin-Nya, diri sendiri yang perlu mempunyai motivasi diri yang tinggi, disiplin yang mantap dan perlu mempunyai visi yang jelas dalam hidup untuk mencapai matlamat kerjaya di masa hadapan,” katanya.
Disediakan oleh: Norhidayah Mohamad, Pusat Komunikasi Korporat
- 256 views