Skip to main content

Muhammad Ishfahan dan Nurul Eshfahanny pasangan adik-beradik kongsi pentas Konvokesyen UMPSA Ke-19

GAMBANG, 27 Oktober 2024 - Pasangan adik-beradik melakar sejarah manis apabila berkongsi pentas dan kegembiraan selepas masing-masing menerima diploma dan ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19.  

Mereka adalah Muhammad Ishfahan Shah Roslee, 26 yang merupakan graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Petroleum) dan adiknya Nurul Eshfahanny Sofea Roslee, 21, Diploma Kejuruteraan Awam.

Ishfahan kini bertugas sebagai Jurutera di Euro Tech Asia Internasional Sdn. manakala Eshfahanny Sofea pula kini sedang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam.

Ketika ditemu bual, kedua-duanya melahirkan perasaan gembira dan terharu dengan kejayaan ini. 

Menurut Sofea, ibu dan ayah mereka merupakan orang yang paling gembira apabila dua hari berturut-turut masuk ke dalam dewan konvokesyen untuk menyaksikan kami menerima ijazah dan diploma masing-masing. 

Muhammad Ishfahan dan Nurul Eshfahanny pasangan adik-beradik kongsi pentas Konvokesyen UMPSA Ke-19

Ujar Sofea, perbezaan umur antara dia dan abangnya adalah lima tahun. 

“Sepanjang pengajian, ramai yang tidak tahu saya dan abang adalah pasangan adik-beradik.

“Hanya sahabat baik saya sahaja yang tahu, kerana saya lebih selesa begitu walaupun kami ditempatkan di dalam kampus yang sama iaitu UMPSA Kampus Gambang,” ujar anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik ini. 

Manakala menurut Muhammad Ishfahan pula, beliau bersyukur kerana sekarang telah bekerja dalam bidang yang diidamkan. 

“Terima kasih kepada pensyarah UMPSA yang berpengalaman dalam industri minyak dan gas kerana banyak berkongsi ilmu dengan pelajar. 

“Bagi saya, kemudahan di UMPSA adalah yang terbaik.

“UMPSA mempunyai teknologi baharu sama seperti di industri sebenar sebagai contoh di UMPSA mempunyai Drilling Simulator berkenaan explorasi minyak dan gas,” katanya. 

Malah, pelajar di UMPSA sendiri juga dapat merasai teknologi atau mesin yang sama seperti di industri pekerjaan.

“Jadi ia sudah tentu memberikan pengalaman yang berharga kepada pelajar dan secara tidak langsung  tidak akan kekok apabila berhadapan dengan kerjaya di industry nanti,” katanya.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris