Muhammad Shafiq anak mekanik berjaya raih Anugerah Pro-Canselor dan laluan pantas PhD UMPSA
GAMBANG, 26 Oktober 2024 – Berani untuk mengambil cabaran dalam hidup dan tidak mudah mengalah telah membuktikan kejayaan berganda buat graduan Muhammad Shafiq Danial Eizmeer Johar, 24, yang berjaya meraih Anugerah Pro-Canselor di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19.
Lebih mengembirakan, anak mekanik itu turut berjaya melanjutkan pelajaran melalui laluan pantas (fast track) di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (Kejurteraaan Awam) di UMPSA dengan memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.78 semasa program ijazah sarjana muda.
Muhammad Shafiq amat bersyukur dengan kejayaan berganda ini dan tidak menyangka dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pro-Canselor pada konvokesyen kali ini.
“Terima kasih kepada ibu bapa dan pensyarah yang banyak memberi galakan dan sokongan sepanjang pengajian saya.
“Semasa pengajian diploma dahulu, saya tidak seaktif semasa menyambung pengajian di peringkat ijazah.
“Saya yakin untuk berjaya, kita bukan hanya perlu cemerlang dalam pelajaran malah aktif dalam kokurikulum,” ujar anak kelahiran Terengganu ini.
Selain itu katanya, prinsip penting yang perlu ditanamkan dalam diri ialah menghormati kepada ibu bapa dan guru-guru kita.
Beliau turut berkongsi kegembiraan apabila berjaya melanjutkan pelajaran melalui laluan pantas (fast track) di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).
Ujarnya dengan laluan pantas peringkat PhD ini, kita tidak perlu lagi mengikuti pengajian di peringkat sarjana, dari situ kita dah jimat masa satu hingga dua tahun.
“Saya akan mengambil peluang ini dengan bersunggguh-sungguh hingga berjaya,” kata anak keempat daripada lima orang adik-beradik ini.
Beliau turut bersyukur apabila telah menerima Anugerah Dekan setiap semester dan diiktiraf sebagai Pelajar Terbaik dalam Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) pada tahun 2024.
Beliau juga aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum, termasuk memegang jawatan sebagai Naib Presiden Persatuan Pelajar Teknologi Kejuruteraan Awam (SCETS) dan sebagai perwakilan pelajar dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Selain itu, beliau juga terlibat dalam program-program antarabangsa.
Muhammad Shafiq mengakui bahawa UMPSA menyediakan kemudahan yang lengkap untuk proses pembelajaran, termasuklah makmal dan perpustakaan yang memudahkan beliau melakukan penyelidikan.
Menurutnya lagi, beliau amat menghargai sokongan tenaga pengajar yang berpengalaman dan komitmen mereka dalam membantu pelajar mencapai kejayaan akademik.
“Pendekatan pembelajaran di UMPSA yang mengintegrasikan teori dan praktikal memberikan kelebihan kepada graduan untuk menghadapi cabaran industri.
“Antara kejayaan terbesar saya adalah meraih pingat emas dalam Pertandingan Creation, Innovation, Technology, and Research Exposition (CITREX),” katanya.
Beliau juga turut aktif dalam penyelidikan inovatif yang memberi impak besar kepada bidang Kejuruteraan.
Muhammad Shafiq bercita-cita untuk menjadi pensyarah di institusi pengajian tinggi (IPT) terkemuka dan berhasrat untuk menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat