Muhammad Sofwan raih Anugerah Canselor UMPSA
GAMBANG, 26 Oktober 2024 - Muhammad Sofwan Sapiyan, 24, seorang graduan cemerlang dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah membuktikan bahawa ekosistem kekeluargaan yang kukuh adalah kunci kepada kejayaan akademiknya.
Sofwan telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Canselor dalam Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 dan beliau telah membuktikan kecemerlangannya dalam bidang akademiknya dengan memperoleh Anugerah Dekan selama tujuh semester berturut-turut dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.82.
Anak kelahiran Selangor ini yang juga merupakan anak bongsu daripada lima orang adik-beradik itu telah memulakan pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Puchong Indah sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Agama Menengah Bestari.
Beliau seterusnya telah melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Selangor dan meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) dengan Kepujian di UMPSA.
Sofwan amat bersyukur atas segala pencapaian yang telah beliau raih sepanjang perjalanan akademiknya.
“Kecemerlangan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan padu daripada keluarga saya.
“Mereka adalah sumber inspirasi dan motivasi saya.
“Malah, saya juga percaya bahawa segala usaha dan pencapaian saya adalah hasil daripada doa dan sokongan mereka,” katanya.
Beliau kini berkhidmat sebagai Compliance Auditor Executive di Pharmaniaga, sebuah syarikat farmaseutikal terkemuka di Malaysia
Tambahnya, beliau berasa bangga dapat menjadi sebahagian daripada Pharmaniaga Berhad iaitu sebuah syarikat farmaseutikal yang terkemuka di Malaysia.
“Sebagai Compliance Auditor Executive, saya bertekad untuk memastikan bahawa semua proses dan operasi syarikat mematuhi peraturan dan piawaian yang ditetapkan,” ujarnya.
Sofwan tidak hanya cemerlang dalam akademik, tetapi juga aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum.
Beliau telah menerbitkan Projek Tahun Akhirnya dalam Asia-Pacific Journal of Molecular Biology and Biotechnology (APJMBB) dan meraih pingat emas dalam 14th Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX 2024).
Selain itu, beliau turut terlibat dalam pelbagai program kemasyarakatan dan kepimpinan, termasuklah menjadi Ketua Operasi Skuad Yayasan UMPSA dan Exco Perhubungan Luar Kelab International Society Pharmaceutical Engineering (ISPE) Student Chapter UMPSA.
Dalam bidang sukan pula, beliau aktif dalam badminton, futsal, berenang, dan maraton dengan Garmin Half Marathon di Putrajaya sebagai acara tahunan yang wajib disertainya.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 656 views