Muhammad Syafiq, graduan TVET terima Anugerah Kecemerlangan Perodua
GAMBANG, 27 Oktober 2024 – Biarpun agak terkejut namanya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Perodua pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19, namun Muhammad Syafiq Abdul Razak, 25, tetap bersyukur apabila kerja keras yang diusahakannya selama ini membuahkan hasil.
Muhammad Syafiq yang kini bekerja sebagai Jurutera Pengeluaran di sebuah kilang CNC di Muar, Johor merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pemesinan Industri dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM).
Beliau berjaya meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.86.
Menurut Muhammad Syafiq, beliau tidak menjangka terpilih sebagai penerima anugerah berkenaan memandangkan ramai lagi graduan yang berpotensi, namun bersyukur kerana terpilih pada majlis konvokesyen kali ini.
“Komitmen yang saya berikan sepanjang pengajian di UMPSA banyak memberikan ilmu untuk dipraktikkan di alam pekerjaan.
“Malah, tenaga pengajar juga banyak membantu dalam memperbaiki diri bukan sahaja dari sudut kecemerlangan akademik malah keyakinan diri dan meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan.
“Justeru, kejayaan pada hari ini, saya dedikasikan kepada semua ahli keluarga saya,” ujarnya.
Beliau juga turut menghargai setiap dorongan dan kasih sayang yang dicurahkan oleh keluarganya sehingga berjaya menamatkan pengajian di menara gading,” katanya yang ditemui selepas Majlis Konvokesyen Sesi Keempat, di sini semalam.
Menurut anak bongsu daripada empat orang adik-beradik itu yang juga merupakan anak kepada pasangan Abdul Razak Abdullah, 66, tidak bekerja dan Khatijah Abdulah, 62, suri rumah, kesusahan hidup bukanlah penghalang buat dirinya untuk berjaya.
Kecemerlangan Muhammad Syafiq terserlah apabila berjaya memperoleh Anugerah Dekan bagi enam semester berturut-turut sepanjang pengajiannya.
Beliau juga berharap agar kisah kejayaan beliau dapat dijadikan inspirasi oleh golongan muda pada hari kini untuk terus berusaha menempa kecemerlangan.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 139 views