Naufal Hazmi graduan UMPSA kini Jurutera Pematuhan dan Kawalan Kualiti
GAMBANG, 26 Oktober 2024 - Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19 mencatat kenangan manis buat Naufal Hazmi Azhar, 25 apabila beliau kini bekerja sebagai Jurutera Pematuhan dan Kawalan Kualiti di TYCO, Site Texas Instrumental 2 di Melaka.
Malah, beliau turut berbangga apabila dirinya dan tiga orang daripada ahli keluarganya juga merupakan graduan UMPSA.
“Saya sangat bangga dan terharu kerana seramai empat ahli keluarga termasuk diri saya ialah alumni kepada salah sebuah Universiti Teknologi Terunggul negara ini.
“Bermula dengan bapa saya, Azhar Wahab yang juga merupakan staf UMPSA dan kini telah berpencen pada tahun 2023.
“Lebih membanggakan lagi, apabila abang dan kakak ipar saya merupakan graduan dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) pada tahun 2018,” ujarnya.
Manakala kakaknya pula merupakan graduan dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) pada tahun 2021.
“Adik bongsu saya pula baharu sahaja mendaftar sambung pengajian di UMPSA,” katanya.
Naufal menyedari betapa pentingnya sokongan ibu bapa dalam mencapai kejayaan.
“Ucapan terima kasih tidak terhingga saya tujukan buat mereka,” ujarnya lagi sambil mengukirkan senyuman.
Semasa di universiti, Naufal aktif dalam aktiviti kesukarelawanan dan kelab kebudayaan, dengan menyertai Expoconvo UMPSA, gotong-royong di rumah penjagaan orang tua, dan terlibat dalam Waris Theatre Club.
Dalam Waris Theatre Club, beliau terlibat dalam pelbagai peranan termasuklah sebagai pelakon dan pengarah teater yang bertajuk 'Teater Juta-Juta'.
Beliau juga pernah bertugas untuk mengendalikan technical lighting bagi Konsert Melankolis 1.0 dan 2.0, serta menyertai pasukan koir ketika di Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-18 pada tahun 2023.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 258 views