Nurhasniza berjaya tamatkan Ijazah Doktof Falsafah (Fast Track)
GAMBANG, 29 Oktober 2024 – Nurhasniza Mamajan Khan, 27 menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada sesi pertama Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 yang telah berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang baru-baru ini.
Nurhasniza meneruskan pengajiannya ke peringkat ijazah doktor falsafah dalam progran Sains Fizikal sejurus tamat pengajiannya di peringkat ijazah sarjana muda.
“Semasa pengajian ijazah sarjana muda, saya mendapat ijazah kelas pertama dan terus ditawarkan untuk menukar mod pengajian dari ijazah sarjana ke ijazah doktor falsafah (PhD),” katanya.
Nurhasniza sebelum ini telah bergraduat dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Teknologi Bahan juga di UMPSA.
Anak bongsu daripada enam orang adik-beradik itu berkata, pendekatan pembelajaran di UMPSA yang menekankan kepada penyelidikan dan kerjasama industri membolehkan pelajar mengembangkan kepakaran yang relevan dengan keperluan dunia sebenar.
“Pelajar juga mempunyai banyak peluang untuk mempertingkatkan kualiti penyelidikan melalui penyertaan dalam persidangan akademik dan forum penyelidikan.
“Di samping itu juga, kandungan kokurikulum yang menyokong pembangunan soft skills seperti komunikasi dan pengurusan projek turut membantu pelajar dalam menyampaikan hasil penyelidikan dengan lebih berkesan.
“Pendekatan ini memberi kelebihan kepada graduan PhD UMPSA kerana mereka bukan sahaja pakar dalam bidang teknikal, tetapi juga bersedia untuk menyumbang secara signifikan dalam dunia akademik dan industri,” tambahnya.
Nurhasniza juga terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti sepanjang pengajiannya di universiti.
“Saya terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan yang dianjurkan Yayasan UMPSA dan pernah ditawarkan sebagai pensyarah sambilan di UMPSA dalam subjek Mechanic Physics bagi pelajar Pusat Asasi dan Diploma.
Beliau turut berkongsi kejayaan terbesarnya semasa berada di UMPSA.
“Saya berjaya menamatkan PhD dan mencapai Graduate on Time (GOT), satu pencapaian yang sangat saya banggakan.
“Pengalaman yang tidak dapat dilupakan pula ialah apabila saya menghadiri persidangan di Indonesia, yang merupakan persidangan pertama saya.
“Dari situlah segalanya bermula, membuka banyak peluang dan menjadi asas kepada perjalanan penyelidikan saya,” tambahnya.
Nurhasniza kini sedang bekerja sepenuh masa di salah sebuah kilang pembuatan bateri sebagai Jurutera Penyelidikan dan Pembangunan.
Beliau berhasrat untuk terus mendalami bidang penyelidikan, khususnya dalam pembuatan bateri dan elektrolit yang sejajar dengan kerjaya dan minatnya.
“Saya berhasrat untuk menjadi salah seorang penyumbang teknologi di peringkat global dengan matlamat untuk memberi impak yang signifikan kepada perkembangan industri tenaga dan teknologi masa hadapan,” tambahnya.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 159 views