Pasangan suami isteri berkongsi pentas konvo
GAMBANG, 24 Oktober 2023 – Berkongsi pentas yang sama pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-18 menjadi kenangan terindah buat pasangan suami isteri Nor Khairil Benjamin Nazeri, 25 dan Nor Nasuha Yasmin Mohd Khairul Asrul, 25 selepas berjaya menamatkan pengajian bersama-sama.
Nor Khairil Benjamin yang berasal dari Banting, Selangor telah menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Teknologi Automotif dengan Kepujian manakala Nasuha pula dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi Elektrikal dengan Kepujian.
Menurut Nor Khairil yang bertugas sebagai Process Engineer R&A Commercial Vehicle di Sendok Group Klang, beliau tidak pernah terdetik sebelum ini untuk dapat bergraduasi dan berkongsi pentas bersama-sama.
“Kami berasa teruja dan seronok dapat bersama-sama menamatkan pengajian serta meraikan bersama keluarga,” ujarnya.
Detik perkenalan pasangan ini bermula apabila mereka telah beberapa kali terserempak di program-program anjuran UMPSA dan akhirnya membuat keputusan untuk melangkah ke alam perkahwinan setelah tamat pengajian pada Disember 2022 lalu.
Manakala Nur Nasuha Yasmin pula berkata, ini merupakan salah satu detik kenangan yang tidak dapat dilupakan dan amat berharga.
“Kenangan ini amat terindah buat kami berdua kerana dapat bergraduasi bersama-sama sebagai suami isteri dan juga bakal cahaya mata kami yg bakal dilahirkan tidak lama lagi,” katanya yang kini sedang mengandung tujuh bulan.
Ujarnya, sokongan dan dorongan antara satu sama lain adalah pemangkin semangat untuk menamatkan pengajian.
“Berasa bertuah dan bersyukur, kini kami menjadi graduan UMPSA dalam masa sama dapat bertemu jodoh.
“UMPSA banyak membantu saya dan pasangan dalam banyak aspek dan bidang terutama sekali di alam pekerjaan yang sebenar,” katanya.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 392 views