Pecah Tradisi Keluarga merantau keluar, Farah Ariqah bukti kejayaan terima Hadiah Kecemerlangan Anak Sabah
GAMBANG, 29 Oktober 2024 - Farah Ariqah Puddin, 24 yang merupakan anak sulung kepada pasangan Puddin Man, 56 dan Siti Rajiah Muslimin, 56, memilih untuk memecahkan tradisi keluarga untuk menyambung pengajian di luar Sabah.
Siapa sangka pilihannya itu menjadikan anak jati Sabah ini akhirnya dipilih sebagai penerima Hadiah Kecemerlangan Anak Sabah dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19 yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang.
Bergiat aktif dalam Skuad Yayasan UMPSA sepanjang empat tahun pengajian, mengajar beliau untuk keluar dari zon selesa dan melahirkan versi baharu dirinya.
Katanya, beliau merupakan seorang yang introvert dan takut untuk berdiri di hadapan.
“Namun kini, saya menjadi extrovet dan boleh berkomunikasi dengan yakin.
“Yayasan UMPSA banyak mengajar saya interpersonal skill yang tidak mungkin diperoleh di luar sana,” ujarnya.
Meskipun sibuk dengan aktiviti sukarelawan, graduan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) ini membuktikan kejayaan dengan memperoleh Anugerah Dekan setiap semester dan menamatkan pengajian dengan Nilai Purata Gred Kumulatif (PNGK) 3.85.
Malah, beliau juga turut menerima Anugerah Prestasi Akademik Terbaik dalam Skuad Yayasan UMPSA.
Mengimbas kembali keputusan untuk melanjutkan pengajian, beliau bertekad untuk mencuba benda baharu kerana baginya kita tidak akan pernah tahu jangka hayat kita.
“Oleh itu, saya tidak akan melepaskan mana-mana peluang yang hadir.
“Kalau bukan sekarang, bila lagi kerana kita hidup hanya sekali.
“Yang paling penting, walau apa jua agama dan keadaan, kita harus sentiasa mengingati Allah SWT dalam setiap langkah kehidupan kerana keberkatan-Nya adalah kunci kejayaan di dunia dan akhirat,” katanya lagi.
Farah Ariqa juga turut berkongsi pengalaman manis terlibat dalam program mobiliti UMPSA ke Bumi Kashmir dan Kembara Prihatin@Negeri di Bawah Bayu siri Semporna dan Tuaran.
Beliau kini sedang menanti surat tawaran pekerjaan dari Sunward Pharmaceutical Sdn. Bhd. sebagai Junior Executive (R&D).
Turut sama menerima Hadiah Kecemerlangan Anak Sabah ialah Sean Kendrick Soh yang kini melanjutkan pelajaran di luar negara.
Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat
- 56 views