Skip to main content

Pelajar Kelas Peralihan bukan halangan Nur Zurlaikha raih Anugerah Kecemerlangan Dimension Sdn. Bhd. UMPSA

GAMBANG, 26 Oktober 2024 – Nur Zurlaikha Mohammad Shaffee, 25 yang dulunya merupakan pelajar kelas peralihan telah membuktikan bahawa dirinya boleh berjaya hingga meraih Anugerah Kecemerlangan Dimension Sdn. Bhd. di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19 hari ini. 

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Kimia Industri dengan Kepujian itu menerima anugerah yang disampaikan Pro-Canselor UMPSA, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam sesi pertama.

Nur Zurlaikha merupakan pelajar kelas peralihan semasa di sekolah rendah.

Katanya, beliau merupakan pelajar yang mengalami kesukaran dalam memberi tumpuan dan mengambil masa yang lebih lama untuk memahami pelajaran. 

Pelajar Kelas Peralihan bukan halangan Nur Zurlaikha raih Anugerah Kecemerlangan Dimension Sdn. Bhd. UMPSA

“Walaupun semasa di zaman sekolah menengah keputusan saya tidak begitu cemerlang walaupun saya telah berusaha sebaik mungkin, namun saya tidak pernah berputus asa.

“Perjalanan saya berubah apabila saya memasuki peringkat diploma di mana saya berjaya menemui teknik pembelajaran yang lebih berkesan yang membolehkan saya untuk fokus dan bersemangat untuk belajar. 

“Ketika melanjutkan pelajarannya ke peringkat ijazah di UMPSA, saya telah meneruskan teknik pembelajaran tersebut di samping menambah baik sikap dan motivasi untuk terus menimba ilmu bersama warga pendidik dan rakan-rakan di UMPSA,” tambahnya. 

Sepanjang pengajiannya di UMPSA, Nur Zurlaikha juga terlibat dalam pelbagai aktiviti kokurikulum dan persatuan.

Ujarnya, beliau memegang jawatan sebagai Eksekutif Aktiviti untuk Program Sukarelawan Youth of Strength and Happiness MyFundAction.

“Saya telah diberi tugasan untuk merangkakan aktiviti untuk kanak-kanak yang terjejas dengan masalah banjir di Temerloh.

“Saya juga turut menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum yang ditawarkan oleh pihak universiti iaitu Kelab Memanah, Kelab Kesihatan Mental, Kelab Get Ready to Work, dan Kelab Etika dan Peradaban. 

“Melalui penglibatannya ini, secara tidak langsung saya dapat mengasah kemahiran insaniah di dalam diri melalui aktiviti dan tugasan yang diberikan,” katanya. 

Jelasnya lagi, penglibatan tersebut bukan sahaja memperkukuhkan keupayaannya untuk bekerja secara berkumpulan, namun membolehkannya membangunkan sifat kepimpinan dan keupayaan untuk beradaptasi dalam pelbagai situasi.

“Sepanjang pengajian saya tidak pernah merasa kekurangan dengan kemudahan yang disediakan kerana bagi saya, UMPSA menawarkan kemudahan yang baik, termasuk makmal yang lengkap dan perpustakaan yang menyediakan pelbagai sumber rujukan. 

“Dari segi pembelajaran, tenaga pengajar di UMPSA sangat berpengalaman dalam bidang mereka dan komited untuk membantu pelajar mencapai kejayaan bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga kokurikulum.

“Kaedah pengajaran yang digunakan oleh pensyarah juga amat berkesan dalam membantu pelajar untuk memahami subjek secara mendalam,” katanya lagi. 

Selain itu, pendedahan dari segi praktikal yang berkait rapat dengan industri turut juga diberikan, yang mana ia sangat berguna dalam mempersiapkan pelajar untuk kerjaya masa hadapan”, tambahnya.

Beliau turut merasakan bahawa suasana pembelajaran di sini sangat kondusif, dengan persekitaran yang sangat menyokong perkembangan akademik serta peribadi pelajar.

“Kemudahan yang disediakan oleh pihak UMPSA benar-benar membantu meningkatkan pengalaman pembelajaran dan menjadikan ia tempat yang ideal untuk saya mencapai impian akademik serta memperkukuhkan kemahiran yang releven dengan industri. 

“Kini, saya berkhidmat sebagai Juruteknik Makmal di Cargill Palm Products Sdn. Bhd., Klang dan berhasrat untuk membina kerjaya yang cemerlang dalam bidang yang dipelajarinya. 

“Saya ingin memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran yang telah saya peroleh sepanjang pengajian untuk memberikan sumbangan bermakna kepada syarikat dan industri,” katanya. 

Selain itu, ujarnya, beliau ingin membalas jasa keluarga dan para pendidik yang telah banyak menyokong perjalanan akademiknya. 

“Saya berharap dapat memainkan peranan dalam membantu pembangunan negara dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk terus berusaha mencapai kejayaan.

“Keluarga saya sentiasa memberikan inspirasi untuk terus maju, manakala pensyarah di UMPSA memberi panduan yang amat bernilai, serta rakan-rakan saya menjadi tempat berkongsi suka dan duka sepanjang pengajian. 

“Semua ini telah menjadi pendorong utama dalam perjalanan hidup saya dengan memastikan saya tidak mudah berputus asa dalam mencapai impian yang saya ingini,” ujarnya.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad