Shahnizan Imran rangkul Anugerah Kecemerlangan Ir. Kee Book Hee UMPSA
GAMBANG, 26 Oktober 2024 - Berjalan mengikut keselesaan tetapi keluar dari kepompong menjadi prinsip dan kunci kejayaan Shahnizan Imran Mohd Nazri, 24 penerima Anugerah Kecemerlangan Ir. Kee Book Hee pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19 yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Ganbang.
Tidak hanya itu, beliau turut berpegang untuk tidak menghiraukan kata-kata dan pandangan negatif orang lain yang ingin menjatuhkannya.
Katanya, beliau sangat berterima kasih kepada ibu dan ayah yang sentiasa memberikan semangat dan jentikan pada hatinya.
“Semestinya kejayaan yang saya capai hari ini diharapkan dapat memberikan senyuman dan kegembiraan buat mereka.
“Saya juga ingin mengubah kehidupan keluarga saya kepada yang lebih baik dan ini menjadi azam terbesar buat saya,” ujarnya.
Menjadikan ayahnya, Mohd Nazri bin Ghazali, 49 tahun, pesara tentera sebagai inspirasi, Shahnizan sentiasa mengharapkan untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
Graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pengurusan Infrastruktur) dengan Kepujian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) itu berkata, UMPSA terkenal dengan hubungan baiknya dengan industry.
“Ini merupakan satu kelebihan yang mana membolehkan para pelajar terdedah dengan latihan praktikal dan pengalaman bekerja di dunia sebenar.
“Selain itu, keseimbangan di antara pengajaran teori dan kokurikulum dapat mengalakkan pembangunan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, kerja berpasukan, komunikasi dan juga etika,” katanya.
Beliau kini menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) (fast track) dalam bidang Kejuruteraan Awam di UMPSA.
Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat
- 166 views