Tamat pengajian hanya dalam tempoh 5 semester, Subash Rao terima Anugerah Kecemerlangan BASF Petronas Chemical Sdn. Bhd.
GAMBANG, 27 Oktober 2024 – Anak bongsu kepada pasangan Pothorajoo Sanasee,64 dan Appalarasie Subramaniam,58 iaitu Subash Rao Pothorajoo, 23, mencipta kejayaan cemerlang apabila berjaya menamatkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dalam tempoh hanya lima semester di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Jika enam tahun lalu, mereka sekeluarga meraikan tiga beradik lain, Satish Raodan dan dua kakaknya, Loshyini Devi dan Tarshwini Devi berkongsi pentas konvokesyen namun pada kali ini lebih bermakna apabila Subash Rao menerima Anugerah Kecemerlangan BASF Petronas Chemical Sdn. Bhd. yang disampaikan oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin pada Sesi Keempat.
Menurut Subash, dia bersyukur dapat menghabiskan pengajian hanya dalam tempoh lima semester berbanding kebiasaannya tujuh semester dengan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.87 dan pernah meraih Anugerah Dekan setiap semester sejak program diploma.
“Kejayaan ini tidak mungkin saya kecapi jika bukan kerana doa kedua ibu bapa dan sahabat-sahabat iaitu Aghilan Ganesan dan Goh Zi Yi.
“Terima kasih juga kepada Yayasan UMPSA yang menawarkan biasiswa semasa saya dalam pengajian diploma, manakala semasa program ijazah sarjana muda pula saya telah mendapat biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Yang lebih menariknya, saya turut terpilih sebagai penerima biasiswa BWS Germany yang memberi peluang untuk saya menghabiskan satu semester di Hochschule Mannheim, Jerman,” katanya yang pernah dianugerahkan Hadiah Emas Fakulti semasa pengajian diplomanya.
Sementara itu bagi Pothorajoo, kejayaan anak-anaknya banyak didorong oleh isterinya sentiasa mengambil berat pendidikan anak-anak termasuklah mencari guru tuition terbaik buat anak-anaknya. Beliau sangat berbangga dan berterima kasih atas segala jasa bakti yang membawa kejayaan terbesar buat keluarga.
Selain cemerlang dalam akademik, Subash juga aktif sebagai Presiden Kelab Lestari UMPSA (Ecosiswa) dan telah terlibat dalam pelbagai aktiviti kesukarelawan, termasuk program ‘Let’s Save Go Green’.
Di samping itu juga, beliau pernah berkhidmat dalam jawatankuasa publisiti IEM UMPSA dan jawatankuasa multimedia untuk CHEST UMPSA serta Kelab Catur.
Menurut Subash, pendekatan praktikal UMPSA dalam bidang teknikal dan sokongan tinggi daripada tenaga pengajar sangat membantu dirinya dalam meningkatkan daya saing graduan.
Beliau menyifatkan pengalaman pembelajaran di UMPSA sebagai faktor penting yang menjadikan para graduannya lebih bersedia untuk keperluan industri.
Beliau kini bertugas sebagai Jurutera Pengeluaran di Top Glove itu jga aktif dalam Young Engineers IEM Pahang.
Subash bercita-cita menjadi Jurutera Profesional (Ir.) dan melanjutkan pengajian ke peringkat PhD di Cambridge atau Hochschule Mannheim dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan tersayang.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 276 views